PUM gesa siasatan menyeluruh kes bunuh imam Palestin
KUALA LUMPUR â" Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengutuk keras kejadian pensyarah warga Palestin Dr Fadi Al Batsh ditembak mati dari jarak dekat berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak di sini, awal hari ini.
Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan terperinci dan segera mengesan mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu untuk dibawa ke muka pengadilan.
"Pembunuhan itu hampir sama dengan apa yang berlaku ke atas Syeikh Ahmad Yassin, seorang tokoh ulama Palestin, iaitu sewaktu keluar untuk solat Subuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut polis, siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi pada kira-kira 6 pagi ketika mangsa menuju ke Surau Medan Idaman berhampiran tempat kediamannya untuk mengimami solat Subuh.
Walaupun polis belum mengumumkan secara rasmi identiti mangsa setakat 6 petang ini, namun Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha menyatakan mangsa ialah Fadi, imam nombor dua di surau tersebut.
Sheikh Abdul Halim seterusnya berkata ramai yang mengenali Allahyarham sebagai seorang yang baik dan biasa mengimami solat terawih.
"Allahyarham juga antara yang bergiat aktif mendapatkan dana kemanusiaan untuk rakyat Palestin khususnya di Gaza," katanya.
Dalam kenyataan berasingan dikeluarkan kepada media di sini, Gerakan Pejuang Islam (IRM) Hamas menyifatkan Allahyarham sebagai teladan cemerlang dalam dakwah Islamiah dan komited terhadap perjuangan Palestin.
Gerakan itu menganggap Fadi seorang saintis terkemuka yang menyumbangkan banyak hasil penyelidikannya di beberapa persidangan antarabangsa dalam bidang kuasa elektrik.
"Hamas meratapi kepergian seorang daripada anggotanya â" seorang sainstis muda Palestin yang juga seorang hafiz Quran dan anak watan kebanggaan Kota Jabalia," kata gerakan itu. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment