Mudah singkirkan 'gunting dalam lipatan'

KUALA LUMPUR: Semua 16 bekas ahli UMNO yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, adalah pembelot dan sudah lama menjadi aktivis pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata mereka sudah lama dianggap bukan lagi ahli parti secara prinsip kerana membelot.
Sehubungan itu, katanya, tindakan mereka memfailkan semakan kehakiman memudahkan parti memecat mereka, sekali gus membersihkan parti daripada 'gunting dalam lipatan'.
"Pemecatan ini bererti mereka tidak lagi mempunyai wibawa dan locus standi untuk mencampuri urusan UMNO.
"Sebagai parti besar dan berwibawa, UMNO mestilah hanya dianggotai ahli setia, jujur dan komited.
"Mana-mana ahli yang gagal membuktikan kesetiaan terhadap parti, termasuk mensabotaj parti dengan apa juga tindakan mesti dihadapkan dengan tindakan paling tegas mengikut peraturan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, 16 ahli UMNO memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013, selain mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk penangguhan pemilihan UMNO ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dilaporkan berkata, semua mereka dipecat berkuat kuasa hari ini, selaras Fasal 20.7 perlembagaan UMNO iaitu mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keahlian secara automatik.
Pada 5 Mac lalu, ROS mengesahkan permohonan UMNO menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 diluluskan, selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Selayang yang juga pengamal undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican, berkata dakwaan UMNO parti haram atau terbatal pendaftaran secara automatik, adalah dangkal kerana dibuat tanpa merujuk Akta Pertubuhan 1966.
Katanya, tiada peruntukan dalam akta itu membolehkan parti atau pertubuhan menjadi tidak sah atau terbatal pendaftaran secara automatik kerana tidak mengadakan mesyuarat agung atau pemilihan jawatan.
"Ini berbeza dengan situasi DAP sebelum ini yang mana kemelut parti itu tercetus kerana ahlinya mengemukakan aduan mengenai kesahtarafan mesyuarat agung dan pemegang jawatan yang dipilih dalam proses didakwa tidak sah.
"DAP kekal sah sebagai parti politik dan pendaftarannya tidak terbatal secara automatik sepanjang pertikaian dirungkai.
"Ahli UMNO, pendukung dan penyokong parti serta pengundi tidak perlu gusar kerana UMNO kekal dan sebagai parti yang sah dan layak untuk menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment