Maut kereta terperosok bawah lori

Tuesday, April 17, 2018

Maut kereta terperosok bawah lori

Maut kereta terperosok bawah lori

PASIR MAS - Seorang pemuda maut dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas Rantau Panjang dekat Kampung Kubang, jam 9.40 pagi semalam.

Mangsa, Mohammad Syarieza Rani, 21, memandu kereta Honda Jazz dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang dikatakan merempuh belakang lori yang diparkir tepi jalan.

Mangsa yang berasal dari Kualai Ibai, Kuala Terengganu mengalami kecederaan parah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Saksi, Muhammad Safuan Mohd Nor, 26, berkata, ketika bersarapan di kedai makan dekat sini, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Katanya, bunyi itu turut mengejutkan pemandu lori yang turut bersarapan di kedai makan yang sama.

“Saya sangka tayar lori pecah, tapi rupa-rupanya ada kereta langgar belakang lori.

“Semua pelanggan dalam kedai cuba menyelamatkan mangsa, tapi gagal kerana bahagian depan kereta terperosok bawah lori,” katanya.

Muhammad Safuan berkata, dia mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah tidak sedarkan diri, manakala darah mengalir di bahagian hidung dan telinga.

Namun katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia sejurus kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan ke Kampung Gaung sebelum terlibat kemalangan.

“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment