Kane meledak gol lagi ketika Brighton ikat Spurs

Tuesday, April 17, 2018

Kane meledak gol lagi ketika Brighton ikat Spurs

Kane meledak gol lagi ketika Brighton ikat Spurs

BRIGHTON: Harry Kane terus meningkatkan peluangnya untuk memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan satu gol ketika membantu Tottenham Hotspur mencatat keputusan 1-1 menentang Brighton, di sini, sebentar tadi.

Kane meledak gol itu pada minit ke-48 apabila sepakannya dari jarak dekat tertampan pertahanan tuan rumah, Bruno dalam aksi yang dianggap pemanas badan menjelang perlawanan separuh akhir Piala FA pada Sabtu ini.

Jaringan itu juga adalah yang ke-26 buat pemain berkenaan pada musim ini untuk memberinya peluang mengejar penyerang Liverpool, Mohamed Salah yang di depan dengan 30 gol bagi gelaran penjaring terbanyak EPL.

Tetapi skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu yang akan bertemu Manchester United di Wembley, meninggalkan Stadium Amex dengan kekecewaan selepas melepaskan gol penyamaan pasukan lawan dua minit selepas jaringan Kane.

Tottenham tidak memenangi dua perlawanan liga tetapi mereka masih dalam kedudukan yang baik untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan dengan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik liga.

Mereka kini di tempat keempat, lapan mata di depan Chelsea yang menduduki tempat kelima dengan kini hanya berbaki lima perlawanan.

Brighton pula lapan mata di atas pasukan tiga terbawah liga dan dijangka terselamat daripada penyingkiran pada penghujung musim selepas kembali semula pada saingan utama.

"Ia adalah perlawanan yang sukar. Babak pertama adalah seimbang manakala babak kedua kami bermula sangat baik. Kami menjaringkan gol tetapi selepas itu gawang kami bolos," kata Pochettino.

"Kami mencipta peluang tetapi tidak cukup bagus untuk memenanginya. Seri adalah sedikit mengecewakan kerana niat kami adalah untuk mendapatkan tiga mata."

Pochettino masih belum memenangi sebarang trofi sejak menyertai kelab utara London itu dengan Piala FA menjadi harapan terakhir untuk mereka meraih kejuaraan musim ini.

- AFP



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment