Manifesto BN dipandang tinggi: PM

Wednesday, April 18, 2018

Manifesto BN dipandang tinggi: PM

Manifesto BN dipandang tinggi: PM

Pix

BATU PAHAT: Datuk Seri Najib Razak berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) mendapat penilaian tinggi badan penarafan antarabangsa sehingga mendorong kadar pertumbuhan negara disemak semula selepas ia dilancarkan pada 7 April lalu.

Perdana Menteri berkata, sejak pembentangan manifesto terbabit, tiga badan penarafan menyemak semula kadar pertumbuhan negara menjadi lebih positif.

"Bank Dunia menyemak semula kadar pertumbuhan daripada 5.4 peratus kepada 5.6 peratus untuk Malaysia. JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga antara badan yang lebih optimis mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Ini bererti manifesto kita ini mendapat penilaian yang tinggi, mereka tidak sebut sama sekali manifesto pembangkang sebab tiada nilai dalam apa yang terkandung dalam manifesto mereka.

"Mengapa saya kata demikian? Kerana kalau mereka nak mansuhkan tol, mansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beban hutang negara akan bertambah sebanyak RM430 bilion.

"Mengikut kajian Kementerian Kewangan, hutang negara kita akan (meningkat) menjadi RM1 trilion daripada hutang sekarang yang berada pada paras 50.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (dan) akan melonjak kepada 80 peratus daripada KDNK.

"Apa kesannya? Antara kesan buruknya bursa saham akan jatuh, nilai mata wang kita akan terjejas. Apa akan terjadi?

"Contohnya Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terjejas, amanah saham akan terjejas, rakyat akan terjejas kerana kita bergantung kepada bursa saham yang (ketika ini) semakin kukuh, stabil dan semakin meningkat susulan pengurusan ekonomi negara yang berhemah, pragmatik dan bertanggungjawab oleh kerajaan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan politik semata-mata mahu meraih undi.

"Kita tidak boleh bersifat populis. Kalau mahu meraih sokongan rakyat sekali pun mestilah dalam ruang lingkup prinsip yang bertanggungjawab.

"Kita fikir mahu hapuskan atau menyifarkan kadar GST. Dua malam lalu saya tengok televisyen, ada seorang akauntan berkata kalau dihapuskan GST sekalipun, apa jaminan harga barangan akan turun.

"Ia kerana harga barangan bukan dalam kawalan kerajaan dan dia kata tiada jaminan harga akan diturunkan. Sebaliknya (pembangkang) mahu perkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus, ini akan menokok daripada harga sedia ada. Orang putih kata 'double jeopardy'.

"Inilah polisi pak pandir pembangkang yang mana akan membawa kesan yang buruk kepada ekonomi dan menjejaskan kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengenai PNB, Najib berkata, sejak ditubuhkan 40 tahun lalu, PNB diangkat dan diiktiraf sebagai institusi unggul di Malaysia.

Malah, katanya, impak PNB menjangkaui seluruh dunia seperti pembangunan hartanah terbesar di United Kingdom (UK) dibuat melalui PNB dan syarikat di bawahnya.

"Maknanya jika dulu ekonomi Malaysia dikuasai oleh penjajah, hari ini kita mampu menjadi pelabur terbesar di UK.

"Kejayaan PNB selain kecekapan pengurusannya, mempunyai hubung kait dan hubungan simbiotik yang tidak dapat dipisahkan dengan pengurusan ekonomi negara, dasar pembangunan negara yang dibawa oleh kerajaan selama ini.

"Dasar yang pragmatik, dasar yang memacu kadar pertumbuhan tinggi dalam negara menjadi antara faktor utama kejayaan PNB," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan PNB sebanyak RM700,000 kepada unit hemodialisis, Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.

MSAM bermula hari ini hingga 25 April.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment