Peniaga kantin rugi lebih RM20,000

Tuesday, April 17, 2018

Peniaga kantin rugi lebih RM20,000

Peniaga kantin rugi lebih RM20,000

JASIN - Seorang peniaga kantin di Merlimau, di sini menanggung kerugian hampir RM25,000 apabila beg tangan jenama Coach miliknya yang diletakkan di atas kerusi di beranda rumah hilang disyaki dicuri.

Sinar Harian difahamkan, wanita yang berusia 51 tahun dari Kampung Sempang, Merlimau itu hanya menyedari beg tangannya hilang pada pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, malam sebelum kejadian mangsa keluar makan bersama anak dan menantunya.

“Ketika sampai di rumah, pengadu melihat seekor kucing berada di ruang beranda rumahnya. Kerana hendak menghalau kucing itu, dia meletakkan beg tangan di atas kerusi yang berada di situ.

“Tapi, selepas menghalau kucing dia masuk ke rumah tanpa mengambil beg tangan yang diletakkan di atas kerusi,” katanya.

Menurutnya, yakin beg tangannya dicuri orang, mangsa kemudian tampil ke Balai Polis Daerah Jasin untuk membuat laporan.

“Hasil siasatan awal, didapati barang hilang termasuk seutas rantai emas anggaran RM15,000, loket empat segi anggaran RM2,800, rantai kaki emas anggaran RM1,100, sebentuk cincin suasa batu arkid anggaran RM2,000 dan cincin emas putih anggaran RM2,000.

“Manakala wang tunai turut hilang kira-kira RM3,040,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Arshad berkata, suspek dipercayai masuk ke ruang beranda rumah mangsa dan mengambil barang kemas serta wang tunai di dalam beg tangan yang berada di atas kerusi ruang beranda rumah.

“Rumah pengadu tiada pagar dan hanya mempunyai tembok konkrit di bahagian hadapan. Terdapat juga rumah jiran di bahagian hadapan, kiri, kanan serta belakang rumah dan jarak rumah pengadu dengan rumah jiran lebih kurang empat ke lima meter saja.

“Pengadu juga beritahu, semasa meninggalkan beg tangan tersebut, ruang beranda rumahnya gelap kerana tidak dipasang lampu,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment