'Saya belajar dalam tangisan setiap hari'
SHAH ALAM: Pemergian ibu tersayang memberi kesan mendalam sehingga belajar dalam tangisan setiap hari, namun Zarith Zulaikha Abd Aziz, 24, menguatkan semula semangat meneruskan pengajian sehingga meraih pencapaian cemerlang.
Anak kelima daripada enam beradik kelahiran Skudai, Johor itu muncul penerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-88 di sini, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Peruncitan itu berjaya mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.95, iaitu keputusan sama diperoleh dalam Diploma Pengajian Perniagaan sebelum ini.
Zarith Zulaikha berkata, arwah ibunya sentiasa memberi dorongan untuk beliau melangkah ke menara gading.
"Ketika dalam semester dua pengajian diploma di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, saya kehilangan ibu akibat barah. Memang sedih dan ia perkara paling mencabar dalam hidup saya.
"Malah, pembelajaran saya merosot sedikit ketika itu. Saya belajar dalam tangisan setiap hari. Namun, saya meneruskan usaha demi keinginan ibu untuk melihat saya berjaya.
"Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi waktu sukar itu, ditambah dengan sokongan ayah, keluarga, pensyarah dan rakan, hinggalah kini sudah menamatkan pengajian peringkat ijazah," katanya.
Beliau ialah antara 2,229 graduan menerima ijazah masing-masing disampaikan Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar, pada istiadat konvokesyen hari ini.
Berkongsi rahsia kecemerlangan, Zarith Zulaikha berkata, beliau suka melihat tumbuh-tumbuhan untuk menyegarkan semula minda.
"Pada waktu pagi, saya akan belajar terlebih dahulu. Apabila penat, saya akan berehat dan mengambil sedikit masa untuk melihat tumbuh-tumbuhan di luar.
"Pemandangan hijau itu dapat memberi ketenangan dan merehatkan minda selepas belajar," katanya yang sedang berusaha mengembangkan perniagaan kedai dobi sendiri.
Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran yang turut menerima Anugerah Naib Canselor, Muhammad Zakuan Abd Halim, 24, berkata pengalaman melalui waktu sukar ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah antara pendorong kejayaannya hari ini.
"Tiga minggu sebelum menduduki SPM, saya terbabit dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan urat saraf tangan kiri putus. Lebih memburukkan keadaan, saya adalah seorang kidal.
"Ketika itu, saya hanya ada dua pilihan, iaitu sama ada menduduki peperiksaan secara bertulis atau mengunakan komputer. Memang sukar tetapi saya meneruskan pengambilan peperiksaan menggunakan komputer.
"Sejak itu, saya menjadi seorang tabah dan kuat. Tambahan pula, saya menerima sokongan penuh kedua-dua ibu bapa sehingga berjaya ke tahap ini," katanya yang memperoleh PNGK 3.68 dan kini menjadi pegawai di sebuah bank terkemuka.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment