Teruskan Jualan Sentuhan Rakyat

Saturday, March 10, 2018

Teruskan Jualan Sentuhan Rakyat

Teruskan Jualan Sentuhan Rakyat

PROGRAM Jualan Sentuhan Rakyat Dun Lendu yang membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, menerima sambutan luar biasa sehinggakan dirancang sebagai aktiviti bulanan Dun agar ia tidak bernoktah.

Adun Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, perancangan tersebut berdasarkan maklum balas pengunjung yang mahukan program membantu rakyat itu tidak terhenti di situ, dan diteruskan lagi sebagai saluran menikmati harga barangan murah dan berkualiti.

Menurutnya, beliau akan berbincang bersama Fama dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membolehkan rancangan itu direalisasikan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat melalui program tersebut.

Malah katanya, langkah itu sebagai salah satu keprihatinan kerajaan yang sentiasa menyelami dan memahami perasaan rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa.

“Ia bukan sekadar program jual beli yang berlaku, tapi peluang yang ada ini kita juga ambil kira segala pandangan dan cadangan orang ramai yang mahu ia diadakan lagi.

“Bagi lokasi, saya berpendapat untuk diadakan di lokasi berlainan agar program jualan ini dapat diperluaskan dan lebih ramai yang mendapat faedahnya,” katanya.

Pengunjung Sani Sulaiman, 50, mengakui program itu membantunya untuk berbelanja dengan lebih jimat bagi pembelian barang keperluan dapur dan kerana itu sanggup datang ke Dun Lendu walaupun tinggal di Kuala Linggi.

Jelasnya, dia menghabiskan RM150 untuk membeli pelbagai jenis barang dan dapat berjimat sebanyak RM100 berbanding berbelanja di pasar raya.

“Kalau saya pergi ke pasar raya berdekatan, kesemua barang yang saya beli ini dianggarkan mencecah hingga RM250 tapi di sini ,perbelanjaan keseluruhan RM150.

“Saya harap ia dapat diteruskan sama ada sebulan sekali atau sebulan dua kali kerana ini yang rakyat mahukan dan kita sering terbeban dengan kos barang keperluan dapur semakin meningkat,” katanya.

Naziha Ruslee, 22, berkata, dia mengetahui mengenai program itu menerusi hebahan di laman sosial dan mengambil kesempatan membeli pelbagai barangan dapur termasuk bahan mentah seperti ayam dan ikan sejuk beku Q-Fish.

Jelasnya, program itu menjadi medium untuk membeli ikan keluaran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dengan harga berpatutan dan dekat dengan rumahnya.

“Memang nampak berbezaan harga jika kita beli di kedai lain atau pasar raya dengan di sini. Tapi lebih penting, saya dapat beli ikan Q-Fish yang juga ikan kegemaran kami sekeluarga dengan harga murah, selain ayam RM10 seekor,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment