Tchetche janji aksi terbaik

Thursday, March 1, 2018

Tchetche janji aksi terbaik

Tchetche janji aksi terbaik

KETUA pasukan Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche menjanjikan aksi terbaik dalam membantu skuad Penyu meraih kemenangan ketika turun bertemu PJ Rangers dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium MBPJ, Sabtu ini.

Menurutnya, walaupun bertemu pasukan yang beraksi di Liga FAM tetapi mereka tidak boleh mengambil mudah kemampuan lawan sebaliknya mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan komitmen seratus peratus pada perlawanan itu nanti.

“Sejujurnya saya tidak tahu keupayaan pasukan lawan, tetapi ia bukan alasan buat kami untuk tidak melakukan persiapan terbaik tanpa mengira kekuatan mereka.

“Sebagaimana yang kita tahu, Piala FA juga merupakan sasaran pasukan  musim ini. Jadi, kami perlu mencari kemenangan bukan sahaja sebagai suntikan semangat bahkan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Mengulas lanjut, penyerang kelahiran Ivory Coast itu mengakui mereka menjalani latihan seperti biasa tanpa sebarang persiapan khusus dan menuntut rakan sepasukannya mengekalkan momentum kemenangan sebagaimana dibuktikan sepanjang mengharungi empat perlawanan dalam saingan Liga Super ketika ini.

Katanya, kejayaan dalam meledakkan empat gol bersama pasukan ketika ini sedikit sebanyak memberi suntikan semangat buatnya dalam melebarkan jaringan pada saingan Piala FA musim ini.

“Apa pun kami perlu menghormati  pasukan lawan kerana mereka juga menurunkan kesebelasan terbaik mereka dan dalam bola sepak apa jua kejutan boleh berlaku sekiranya pemain tidak berwaspada terhadap ancaman diberikan pihak lawan.

“Jadi saya harap kesemua pemain yang bakal diturunkan nanti agar lebih bersedia dan sentiasa fokus di atas padang selain melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang serta mempamerkan semangat juang tinggi untuk memburu kemenangan,” katanya.

Difahamkan selain Tchetche, yang bakal mengetuai jentera serangan, tiga lagi tonggak import terbaik  TFC  bakal diturunkan Ifran Bakti Abu Salim apabila hanya empat daripada lima awang import sahaja dibenarkan beraksi dalam saingan Piala FA.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment