Penjara empat bulan kerana memeras wang, baling kerusi

Thursday, March 1, 2018

Penjara empat bulan kerana memeras wang, baling kerusi

Penjara empat bulan kerana memeras wang, baling kerusi

PETALING JAYA: Padah cuba memeras wang RM1,000 daripada seorang pelanggan restoran serta membaling kerusi dan meja ke arah mangsa, bekas pengawal keselamatan dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu ke atas A Kaletas, 33, sebaik tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, iaitu 7 November 2017.

Nor Ariffin dalam penghakimannya berkata, tindakan tertuduh yang melakukan pemerasan wang dan membaling kerusi serta meja di tempat awam tidak wajar dilakukan tertuduh, lebih-lebih lagi pada tengah hari, ketika ramai pelanggan berada restoran itu.

"Bukan sahaja pengadu (mangsa), orang ramai di situ turut gentar akibat perlakuan tertuduh, justeru hukuman diberikan dengan mengambil kepentingan orang awam selain memberikan pengajaran kpd tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Mengikut pertuduhan, Kaletas didakwa cuba melakukan peras Kareem Gani Abdul Razak, 62, dengan meminta wang RM1,000 di Restoran ABC Bistro, di Nombor 1, Jalan 19/16, jam 1 tengah hari pada 29 Julai 2017.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu berada di Restoran ABC Bistro, dia didatangi tertuduh yang meminta RM1,000 dan disebabkan mangsa tidak memberinya wang, lelaki itu bertindak mencampak kerusi dan meja ke arahnya.

Mangsa kemudian lari keluar daripada kedai itu sebelum membuat laporan polis kerana khuatir dengan keselamatan dirinya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan salah anak guamnya dan menjimatkan masa dan kos perundangan.

"Anak guam juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman sewajarnya terhadap tertuduh dengan mengambil kira aspek kegentaran dihadapi orang awam ketika kejadian itu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment