Tak mengaku liwat bapa saudara
KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tiga pertuduhan jenayah, termasuk meliwat bapa saudaranya sendiri.
Tertuduh yang berusia 25 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa tanpa kerelaannya yang ketika itu berusia 28 tahun, pada bulan Mac 2016, antara jam 12 malam hingga 2 pagi di sebuah rumah di Batu Rakit.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan berkenaan pada pertengahan Januari lalu, antara jam 7.30 malam hingga 8.30 malam di rumah yang sama, juga tanpa kerelaannya.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan kekerasan terhadap neneknya, 70, pada 12 Februari lalu, kira-kira jam 2.30 petang di Batu Rakit.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah kecuali atas bangkitan marah yang besar, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.
Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Mohamad Haldar menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment