'Hadiah untuk emak dan ayah'
PETALING JAYA: "Keputusan ini hadiah untuk emak dan ayah," kata Mohd Nazri Rusli, 20.
Mohd Nazri adalah seorang daripada dua pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, di sini.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, beliau tidak menyangka akan mendapat keputusan itu berikutan keputusan kurang cemerlang dalam subjek Pengajian Am pada semester ketiga.
"Saya sedar kelemahan saya dalam subjek itu tetapi membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang kelas tuisyen. Saya lebih senang bertanya guru sehingga saya betul-betul faham.
"Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa serta ulangkaji membuahkan hasil. Saya harap boleh menjadi contoh kepada adik pula," katanya ketika ditemui di sekolah itu, di sini, hari ini.
Kata Nazri, beliau tidak mengamalkan sebarang kaedah khusus, sebaliknya hanya mengulangkaji serta membuat latih tubi pada buku latihan.
"Saya bukan 24 jam mengulangkaji pelajaran. Ada waktu untuk diri sendiri, bersama kawan dan keluarga. Tetapi, saya pastikan setiap hari saya ulang kaji setiap subjek.
"Saya beri lebih tumpuan pada subjek yang lemah dan membuat latihan sebanyak mungkin. Kata orang 'study smart' dan itulah yang saya praktikkan," katanya.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Toh Zhee Qi, 20, juga tidak menyangka mendapat PNGK 4.0 kerana lemah dalam subjek Pengajian Am.
"Saya terkejut bila diumumkan antara pelajar yang mendapat PNGK 4.00, namun saya berbangga kerana kerja keras mendatangkan hasil.
"Saya berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM) kerana sudah memasang cita-cita sejak awal menjejakkan kaki di universiti itu," katanya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya , Ghumiat Kamdi berkata, 57daripada 155 pelajar mendapat PNGK 3.00 ke atas, manakala purata lulus 99.34 peratus.
"Keputusan itu agak membanggakan memandangkan sekolah ini terletak di pinggir bandar.
"Tahun lalu, hanya seorang pelajar mendapat PNGK 4.00. Saya harap ia akan terus meningkat bagi memberi motivasi kepada pelajar dan guru," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment