Mahkamah tolak saman AirAsia
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak saman dikemukakan oleh syarikat penerbangan tambang murah Air Asia Bhd (AirAsia) terhadap bekas Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong, yang didakwa memfitnah melalui artikel di blog miliknya, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Su Geok Yam membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Choo Keong, yang juga Ahli Parlimen Wangsa Maju berjaya membuktikan beliau tidak memfitnah Air Asia.
Dalam keputusannya, mahkamah memutuskan artikel yang ditulis Choo Keong itu adalah berdasarkan fakta yang benar berdasarkan bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan selama enam hari.
"Plaintif gagal mempertahankan kesnya dan artikel itu tidak memberi sebarang kesan kepada reputasi syarikat itu.
"Plaintif juga gagal membuktikan bahawa defendan mempunyai niat jahat ketika menyiarkan artikel itu," katanya.
Mahkamah memerintahkan AirAsia membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Choo Keong.
Pada Julai 2015, AirAsia memfailkan saman terhadap Choo Keong kerana didakwa menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dalam blognya, http://weechookeong.com.
Ini termasuk satu artikel bertajuk "Mengapa Liow dan MAHB digalakkan AirAsia berhutang RM50 juta PSC / Cukai Lapangan Terbang?", pada 20 April tahun yang sama.
AirAsia mendakwa Choo Keong menerbitkan kenyataan palsu dan berniat jahat untuk memusnahkan reputasi mereka.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment