Rompin umpama sebuah negeri

Sunday, March 18, 2018

Rompin umpama sebuah negeri

Rompin umpama sebuah negeri

HASRAT kerajaan untuk menjadikan Rompin sebagai lokasi eko pelancongan terkenal di negara ini bukanlah suatu yang mustahil apabila melihat kepada ciri-ciri geografi yang dimiliki.

Terletak di tenggara Pahang, Rompin sering diibaratkan seperti sebuah negeri kerana memiliki ciri-ciri lengkap yang terdiri daripada laut, sungai, bukit, gunung, hutan simpan dan pulau sekali gus kaya dengan hasil alam.

Berdasarkan ciri-ciri itu, Rompin sepatutnya menjadi antara lokasi wajib dikunjungi oleh mana-mana pelancong tempatan atau asing yang mengunjungi negeri Pahang.

Keyakinan itu dizahirkan sendiri oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin, ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Tapak Masjid Baharu Sungai Puteri di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 19 Februari lalu yang mengumumkan Tahun Melawat Rompin 2019.

Dalam ucapan itu, beliau menegaskan bahawa Rompin merupakan sebuah daerah yang indah dan kaya dengan alam semula jadi dan wajar menjadi aset pelancongan kepada negeri atau negara.

Pengumuman itu disambut baik Tengku Mahkota Abdullah dalam titah baginda yang menaruh keyakinan bahawa cadangan itu dapat dilaksanakan namun perlu memastikan lokasi pelancongan dalam keadaan baik dan jika sebaliknya, perlu diselenggara mengelak memberi imej tidak baik kepada daerah.

Baginda turut bertitah, ketika ini Rompin sudah menerima lebih 600,000 kemasukan pelancong dan dengan adanya promosi tidak mustahil ia akan mencapai jumlah satu juta manakala bagi kemasukan pelancong ke negeri Pahang pula mencecah 17 juta bagi tahun lalu.

“Saya harap lebih banyak rumah inap akan dibina dan ini akan menambah sumber rezeki para penggiat industri pelancongan serta penduduk tempatan,” titah baginda.

Melihat kepada keadaan semasa, ia bukanlah suatu yang sukar kerana hanya perlu memperkasakan lokasi-lokasi pelancongan sedia ada dengan menambah baik kemudahan sebagai tarikan baharu kepada pengunjung.

Misalnya Taman Negeri Endau-Rompin dan Hutan Simpan Menchali yang memiliki pelbagai jenis tumbuhan serta haiwan menjadi tarikan utama pelancong untuk ke kawasan berkenaan.

Taman Negeri Endau Rompin yang memiliki keunikan tersendiri.

Menurut Hasan, usaha memajukan dua kawasan hutan terbabit dilakukan secara bersama antara Kerajaan Pusat dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hutan di negeri ini.

Beliau berkata, pelancong yang ingin memasuki kawasan hutan perlu mendapat kebenaran atau permit daripada JPNP selain khidmat pemandu pelancong berpengalaman bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Peruntukan sebanyak RM12 juta digunakan untuk menaik taraf kemudahan di Taman Negeri Endau Rompin yang memiliki keunikan tersendiri, keindahan alam semulajadi termasuk sungai menjadi tarikan utama pelancong apabila ke situ.

“Kemudahan jalan, tempat tidur, dewan dan trek pejalan kaki dalam hutan memberi lebih keselesaan kepada pelancong yang datang ke situ sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan Hutan Simpan Menchali yang diselengara oleh Pejabat Hutan Daerah Rompin, ia memberi peluang kepada pengunjung melihat pelbagai jenis pokok balak dan herba seperti tongkat ali yang tumbuh liar di situ.

“Selain hutan, produk pelancongan lain yang ada di daerah ini adalah laut, pemancing menjadikan perairan di sini sebagai lokasi aktiviti menangkap ikan layaran termasuk udang galah di Sungai Rompin,” katanya.

Disebabkan memiliki daerah yang luas, Bandar Muadzam Shah yang dibuka sekitar pada tahun 1979 di bawah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) namun kini diambil alih oleh Teras Dara Konsortium (TDK) turut seiring membangun.

Terletak di laluan utama Kuantan â€" Segamat dengan majoriti penduduk terdiri daripada peneroka Gugusan Felda Keratong dan Selancar, Bandar Muadzam Shah memiliki Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan juga swasta.

Kewujudan Politeknik Muadzam Shah dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), ia telah menarik lebih ramai penduduk ke kawasan itu sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

Seorang penduduk, Mohd Yusmiza Mohd Yunus, 47, berkata, kewujudan dua institusi pengajian itu banyak merangsang ekonomi, namun tidak semua golongan menikmatinya.

Menurutnya, golongan yang merasai nikmat itu seperti peniaga runcit, kedai makan dan rumah sewa namun bagi sektor lain seperti kenderaan awam, ia tidak memberi impak besar.

Namun dia mengakui sekiranya tiada, Bandar Muadzam Shah akan mati.

“Jika mahu tingkatkan lagi ekonomi penduduk setempat di sini , mungkin boleh buka kawasan industri atau tambah lagi institusi pengajian lain seperti UiTM dengan menjadikan Bandar Muadzam Shah sebagai hab pendidikan.

“Sektor pendidikan lebih sesuai kerana lokasi Bandar Muadzam Shah agak jauh dan mungkin kos bagi logistik agak tinggi bagi pemain industri,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment