'Kenapa punggung panas bila sentuh pasal air?'
KUALA LUMPUR: Saiz hutang bukan ukuran utama keutuhan ekonomi Malaysia, sebaliknya ia bersandarkan kemampuan negara dalam menjelaskan pembayaran balik, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menjelaskan, soal pengurusan hutang negara dikendalikan dengan baik kerana peratusannya daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikekalkan pada 50.8 peratus, berbanding kadar maksimum iaitu 55 peratus.
Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan hutang negara yang semakin menguncup bukan sandaran utama dalam menentukan kekuatan ekonomi Malaysia.
"Tetapi kekuatannya terletak pada kemampuan kita membayar balik hutang. Kalau sebut Singapura, hutang mereka lebih besar tetapi kemampuannya membayar balik tetap ada.
"Jadi, kita ada kemampuan bayar balik yang tidak boleh dipersoalkan kerana badan penarafan antarabangsa meletakkan Malaysia dalam kategori A.
"Ia bermakna kewangan negara, termasuk hutang diuruskan secara baik, dengan harapan bahawa masalah air di Selangor juga akan diselesaikan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) di Dewan Rakyat, sebentar tadi, yang mengundang kekecohan sebaik sidang minggu kedua, penggal keenam membuka tirainya.
Suasana dewan yang bertukar hingar itu tercetus apabila Mohamed Azmin mengajukan soalan sama ada peningkatan jumlah pembayaran faedah hutang negara kepada 12.5 peratus mempunyai kaitan dengan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Topik sensasi itu menyaksikan beberapa ahli parlimen bangkit menyuarakan bantahan berhubung rasional soalan terbabit, selain kedengaran kritikan balas: "Isu air Selangor lagi kritikal. Kenapa tak selesaikan?"
Tampak tenang, Mohamed Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor cuba menenangkan suasana 'panas' dewan dengan berkata: "Saya yakin PM (Perdana Menteri) boleh jawab, bagilah peluang. Adakah kemelut hutang 1MDB beri kesan kepada pembayaran faedah hutang?"
Tindakan itu gagal 'memadam' kehangatan dewan apabila barisan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bangkit melontarkan hujah balas dengan mendesak supaya Mohamed Azmin memberi keutamaan untuk menyelesaikan krisis air di negeri ditadbirnya.
Antara yang lantang membidas soalan berkenaan adalah Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling); Datuk Othman Abdul (BN-Pendang); Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong); Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang pada awalnya mengukir senyuman ketika menyaksikan 'drama' itu akhirnya campur tangan meminta semua ahli parlimen duduk, selain memberi amaran kegagalan menuruti arahannya bakal berdepan tindakan tegas.
Nada tegas itu bagaimanapun tidak diendahkan Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, apabila berdiri dan cuba membela dirinya dengan menyatakan krisis air di Selangor tiada kaitan terhadap kemelut 1MDB.
Najib yang juga Menteri Kewangan ketika menjawab soalan 'panas' itu menjelaskan, tujuannya menyentuh krisis air di Selangor ketika memberikan perincian mengenai 1MDB adalah sekadar perbandingan dalam menentukan keutamaan pengurusan kerajaan.
"Saya bagi peluang Gombak (Mohamed Azmin) tanya soalan, jadi bagilah peluang saya jawab. Saya buat perbandingan dan ia sekadar contoh (krisis air di Selangor).
"Kenapa punggung panas bila sentuh pasal air?" katanya, sekali gus mengundang tawa dan dentuman meja tanda sokongan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment