Pemisahan skim gaji, perkhidmatan tingkat operasi CIDB

Monday, March 12, 2018

Pemisahan skim gaji, perkhidmatan tingkat operasi CIDB

Pemisahan skim gaji, perkhidmatan tingkat operasi CIDB

KUALA LUMPUR: Cadangan pemisahan skim gaji dan perkhidmatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) daripada Skim Saraan Malaysia (SSM), bertujuan meningkatkan lagi keberkesanan peranan lembaga itu dalam industri pembinaan negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata cadangan itu juga akan memberi kebebasan kepada CIDB menentukan hala tuju orgaisasi, sumber pendapatan saraan dan gaji tanpa merujuk kelulusan Pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, cadangan ini juga diharap dapat menambah baik skim gaji dan perkhidmatan CIDB, selaras dengan perluasan tanggungjawab CIDB melalui pindaan Akta 520 dan pelaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan.

"Walaupun skim saraan dan perkhidmatan CIDB diasingkan daripada SSM, status quo dan kuasa CIDB masih kekal seperti termaktub dalam Akta 520.

"Walaupun cadangan ini baru peringkat dasar, pelaksanaannya dilihat mampu memberi implikasi positif bukan saja kepada kerajaan, malah industri pembinaan dan CIDB sendiri.

"Pemisahan ini juga dijangka membantu kerajaan dalam merasionalisasikan saiz perkhidmatan awam selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

"Ia juga dijangka menjadikan skim saraan dan perkhidmatan CIDB lebih fleksibel dan berdaya saing serta mampu menarik bakat baharu yang diperlukan," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mengenai rancangan masa depan kerajaan untuk meningkatkan kemampuan CIDB mengawal selia industri pembinaan negara.

Rosnah berkata, peranan CIDB sebagai agensi pengawal selia industri pembinaan negara akan terus kekal dan kerajaan tiada perancangan untuk menswastakan lembaga itu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment