Samun rakan senegara, warga Indonesia terima pembalasan

Tuesday, March 13, 2018

Samun rakan senegara, warga Indonesia terima pembalasan

Samun rakan senegara, warga Indonesia terima pembalasan

BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki warga Indonesia yang melakukan samun, mendapat pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara tiga tahun serta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini.

Tertuduh, Tommy, 24, dijatuhi hukuman itu sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan samun terhadap rakan senegara, Adinda Dina Nur Safitri dengan mengambil dompet berisi empat keping wang RM50, dua keping wang Indonesia 20,000 Rupiah dan 10,000 Rupiah serta pasport milik mangsa.

Dia dituduh di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh dikenakan denda serta sebat.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati berada di negara ini tanpa sebarang dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-keduanya dan juga hendaklah disebat tidak lebih enam rotan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jejantas Melaka Sentral, sekitar jam 6.30 petang, 29 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang cuba melarikan diri ke taman perumahan berhampiran, berjaya ditahan orang ramai selepas mangsa dan rakannya menjerit meminta pertolongan.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mazuin Hashim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh merupakan warga negara asing yang tidak mempunyai rekod perjalanan sah dan tergamak membuat onar di negara ini.

Tambahnya, hukuman berat juga perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat di luar untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Tommy yang memakai baju T bewarna coklat dan tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukumannya diringankan.

Norma kemudiannya, memutuskan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama serta tiga tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua hukuman diperintah berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment