Maritim tahan bot nelayan langgar syarat

Thursday, March 1, 2018

Maritim tahan bot nelayan langgar syarat

Maritim tahan bot nelayan langgar syarat

BUKIT MERTAJAM - Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) selepas dipercayai melakukan pelanggaran syarat sah lesen, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi, Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Komander Maritim Hamizan Harun berkata, tangkapan dibuat di kedudukan 2.8 batu nautika Barat Daya Pulau Rimau kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui seorang tekong bersama dua lagi awak-awak warga tempatan berusia lingkungan 45 hingga 52 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan dibuat mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu memukat ikan kurang 8 batu nautika dari pantai.

“Bot tersebut ditahan bersama hasil tangkapan ikan anggaran seberat 300 kilogram dan dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

Katanya, Maritim memandang serius terhadap kesalahan melanggar undang-undang terutama bot nelayan yang melakukan pencerobohan zon menangkap ikan yang disyaratkan dalam lesen kerana kesalahan ini boleh mengganggu ekosistem di laut dan juga mengganggu mata pencarian bagi nelayan-nelayan bot kecil (nelayan pantai).

Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat kesalahan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment