Laporan NYT perkenalkan Perak di mata dunia
SUNGKAI: Langkah akhbar New York Times (NYT) menyenaraikan Ipoh sebagai lokasi menarik dikunjungi pengembara antarabangsa, harus diambil peluang untuk memperkenalkan destinasi menarik lain di Perak kepada dunia.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Perak mengambil kesempatan daripada populariti Ipoh sekarang, dengan mengenal pasti destinasi menarik di tempat masing-masing yang belum diteroka, untuk diperkenalkan kepada pelancong.
"Insya-Allah, di kawasan lain seperti di daerah Muallim, umpamanya, boleh kita bangunkan dan dijadikan contoh untuk dijadikan destinasi terbaik dilawati pelancong.
"Kita ada kawasan di daerah lain juga yang menarik, yang belum diteroka sepenuhnya dan saya yakin kalau kita dapat lakukan yang terbaik, kawasan lain pun, insya-Allah, akan menjadi contoh yang terbaik kepada mereka yang datang melawat Perak," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA Besout 2 di FELDA Besout 2 dekat sini hari ini.
Akhbar berpengaruh dunia, NYT, yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, dalam ruangan Travel (Kembara), baru-baru ini, menyiarkan artikel bertajuk 'Why Ipoh, Malaysia, Should be on your Travel Radar' (Mengapa Ipoh, Malaysia, Harus Berada di dalam Radar Pengembaraan Anda') yang mengiktiraf ibu negeri Perak itu sebagai destinasi pelancongan menarik di dunia.
Tahun lalu, portal pengembaraan dunia, Lonely Planet menyenaraikan Ipoh sebagai antara 10 destinasi di Asia yang harus dilawati dan kemudian meletakkan pula Ipoh seterusnya Perak antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati.
Zambry mengakui rasa terharu dengan artikel NYT itu dan membuktikan pengiktirafan dunia terhadap usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mengindahkan Ipoh dan menjadikannya kawasan bersih serta mengekalkan identiti unik dimiliki bandar raya itu.
"Sebab itu saya sering mengingatkan bahawa sentiasa menjaga dan memelihara kawasan kita termasuk aspek kebersihannya menjadi tanggungjawab kita bersama, walaupun ada yang memandang sinis langkah-langkah saya dan rakan-rakan lakukan, tapi biarlah mereka.
"Yang paling penting kita teruskan usaha ini, dan rakyat keseluruhannya dapat menjayakan hasrat ini, dan kita telah mencapainya, Alhamdulillah, mendapat pengiktirafan seperti ini walaupun sebelum ini ada yang menyatakan mustahil dapat pengiktirafan seperti itu," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment