Jurutera Petronas, isteri terima rasuah ditahan
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang jurutera Petronas Chemical Group bersama isterinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM361,000.
Kedua suspek memerima rasuah daripada syarikat kontraktor bagi melakukan kerja pengujian terhadap paip-paip yang dipasang di projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang, Sabah tiga tahun lalu.
Pasangan suami isteri tersebut masing-masing berusia 58 tahun dan 49 tahun ditahan di rumah mereka di Shah Alam pada jam 2 petang tadi.
Menurut sumber, suspek berjawatan pengurus mengendalikan projek tersebut ketika itu disyaki telah meminta dan menerima rasuah sebagai upah melantik syarikat sub-kontraktor kepada kontraktor utama bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.
"Pembayaran rasuah tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya sebagai upah bagi melantik Syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut," katanya.
Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
"Setakat ini pihak kami telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes ini dan 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan," katanya.
Kedua-dua suspek dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment