Kekalkan kestabilan Sabah - PM

Friday, March 2, 2018

Kekalkan kestabilan Sabah - PM

Kekalkan kestabilan Sabah - PM

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Sabah jangan mengubah situasi politik yang stabil dan baik di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan ketika ini, kepada sesuatu yang tidak pasti.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Sabah dan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang baik serta membawa banyak perubahan dan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat negeri ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, usaha memajukan sesebuah negeri adalah lebih baik jika ditadbir parti yang sama di peringkat negeri dan Persekutuan kerana ia menjamin kestabilan politik serta memudahkan pelaksanaan semua program pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang dirancang.

"Kalau dari parti sama, senang kerja kita, banyak yang boleh kita lakukan (memajukan Sabah). Kalau parti lain (negeri dan Persekutuan) susah, kita ada masalah dengan Pulau Pinang dan Selangor sebab mereka banyak berpolitik.

"Sabah tiada masalah, jadi janganlah ubah keadaan yang sudah baik, nanti menyesal kerana tukar sesuatu yang telah memberi banyak manfaat kepada kita," katanya di hadapan 1,300 kakitangan negeri dan Persekutuan pada Majlis Perhimpunan Perdana Bersama Penjawat Awam Sabah di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Norizan Mohd Thani serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, keakraban kerajaan negeri dan Persekutuan dari segi politik dan pentadbiran, turut menjadi penentu maju atau mundur sesebuah negeri.

Katanya, visi dan misi Sabah menerusi kepemimpinan Musa untuk membawa serta memacu negeri ke tahap lebih tinggi turut bergantung kepada hubungan rapat negeri dan Pusat, sambil disokong komitmen penjawat awam.

"Saya yakin kejayaan Sabah setakat ini kita boleh lihat adalah kerana faktor berkenaan (hubungan baik negeri dan Pusat), saya lihat hubungan dari segi politik dan pentadbiran amat serasi, saya dan Tan Sri Musa amat serasi.

"Begitu juga antara menteri Persekutuan dan negeri, amat serasi," katanya.

Hasil hubungan rapat itu, Perdana Menteri mengakui 'tidak berkira' dengan permintaan Musa untuk kepentingan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

"Saya menyokong (Sabah) dengan peruntukan istimewa yang tiada dalam Bajet (2018), bila tiba-tiba Ketua Menteri minta, saya tak pernah menolak permintaan beliau," katanya memberi contoh peruntukan RM500 juta untuk pembangunan projek Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) melalui dana mudah cara kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklum balas dan lawatan ke negeri ini, beliau yakin Sabah akan kekal di bawah BN, namun meminta semua pihak tidak leka atau berasa selesa.

"Jangan dibuai keadaan terlalu yakin, kita masih perlu bekerja keras dan saya nampak Tan Sri Musa pun bekerja siang malam.

"Jangan kira apa bakal berlaku, tumpu pada tugas kita," katanya sambil menambah kerajaan BN akan melaksanakan lebih banyak lagi untuk Sabah jika terus diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment