Kanak-kanak terperangkap sejam dalam kenderaan
BINTULU: Sepasang suami isteri di Taman Chin Lee di sini, berdepan detik cemas apabila anak perempuan mereka berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda milik keluarga itu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.16 tengah hari, ibu bapa kanak-kanak itu dipercayai tidak menyedari mangsa terperangkap hampir sejam di dalam kenderaan terbabit sehingga agak lemah kerana sesak nafas dan kepanasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata kejadian hanya disedari ahli keluarga apabila mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah dan segera mencarinya di sekitar kediaman.
"Kita tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu, tanpa disedari ibu bapanya, bermain di dalam kenderaan berkenaan sebelum terkunci.
"Difahamkan, mereka terkejut apabila mendapati mangsa berada di dalam kenderaan itu lalu cuba mengeluarkannya tetapi gagal," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, pasangan terbabit segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati kanak-kanak itu sedang menangis dipercayai sesak nafas dan kepanasan," katanya.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 30 minit sebelum diberi rawatan kecemasan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment