Kakitangan Jabatan Hidupan Liar jatuh gaung dikejar gajah

Thursday, March 1, 2018

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar jatuh gaung dikejar gajah

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar jatuh gaung dikejar gajah

TELUPID: Seorang kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah cedera akibat terjatuh ke gaung selepas dikejar gajah ketika dilaporkan menghalau haiwan liar terbabit yang berkeliaran di kawasan Balai Polis Telupid dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian itu, kakitangan berusia 30-an itu, bagaimanapun sudah diberikan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga, berkata, kakitangannya itu terjatuh ke dalam gaung ketika menjalankan kerja menghalau gajah ke kawasan hutan berhampiran.

"Dia dilaporkan terjatuh ke gaung ketika menyelamatkan diri apabila dikejar gajah. Mangsa kini sedang dirawat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut konflik gajah dengan manusia di Telupid, Augustine berkata, ia berlaku sejak tahun lalu lagi membabitkan lebih 20 gajah, namun semuanya dapat ditangkap dan ditempatkan di Hutan Simpan Deramakot.

"Bagaimanapun, hanya dalam tempoh sebulan kumpulan gajah terbabit kembali semula ke Telupid sejak 18 Disember lalu," katanya.

Augustine berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya terpaksa menghantar seberapa ramai anggotanya dari daerah lain ke Telupid dalam menangani konflik berkenaan.

"Kami juga terpaksa mendapatkan bantuan belia daripada beberapa kampung di Telupid, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun setakat ini belum mampu menghalau semula semua gajah terbabit ke hutan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menangkap lima gajah dan ditempatkan di kawasan Hutan Simpan Imbak Canyon.

Semalam, NSTP melaporkan pelajar dan guru SMK Telupid gempar apabila dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah yang masuk ke dalam dewan makan asrama.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, gajah terbabit masuk ke kawasan sekolah sebelum berkeliaran dalam dewan makan asrama, namun tiada kerosakan dilaporkan.

Kelmarin, kumpulan gajah sama memasuki kawasan Balai Polis Telupid selepas merosakkan pagar premis berkenaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment