Ibu dua anak didakwa pecah amanah
PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai jualan sebuah syarikat pemasaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat berjumlah hampir RM13,000, Oktober tahun lalu.
Siti Diyana Awang, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pekerja yang diamanahkan dengan wang syarikat berjumlah RM12,984.30 iaitu wang kutipan jualan, melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan wang terbabit untuk kegunaan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pharma Line Marketing Sdn Bhd di No 46, Jalan Putera Permai 1B, Taman Equine, Seri Kembangan, di sini pada 24 Oktobor 2017.
Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun, sebat dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap kerana sudah tidak bekerja.
"Hanya suami yang bekerja menanggung saya dan dua anak kami yang berusia satu serta tiga tahun," katanya sambil menangis teresak-esak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment