Myanmar 'rampas tanah' Rohingya

Sunday, March 11, 2018

Myanmar 'rampas tanah' Rohingya

Myanmar 'rampas tanah' Rohingya

YANGON - MYANMAR. Kerajaan Myanmar memasang pagar keselamatan di kampung penduduk Rohingya yang dibakar, menurut pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, hari ini.

Pendedahan itu dibuat menerusi laporan baharu 'Membangunkan semula Negeri Rakhine' berdasarkan imej satelit dan temu bual yang menunjukkan peningkatan pesat dalam infrastruktur ketenteraan dan pembinaan lain sejak awal tahun lalu yang disifatkan sebagai 'rampasan tanah'.

"Bukti baharu dan pembinaan semula yang didokumenkan dalam penyelidikan terbaharu menunjukkan pihak berkuasa Myanmar melakukan pembinaan di setiap perkampungan Rohingya. Dalam beberapa contoh, terdapat juga kemusnahan rumah sedia ada," kata Pengarah Tindak Balas Krisis Amnesty, Tirana Hassan.    

Jelasnya, imej tersebut hanyalah gambar separa, namun ia menunjukkan struktur termasuk jalan dibina di dan sekitar kawasan kediaman penduduk Rohingya yang musnah.

Sebelum ini, imej satelit menunjukkan salah sebuah perkampungan, Kan Kya di pinggir bandar Maungdaw musnah terbakar kira-kira dua bulan selepas gelombang keganasan baharu tercetus pada Ogos lalu.

Menjelang awal bulan lalu, beberapa binaan dapat dilihat di kawasan tersebut yang mana Amnesty percaya ia adalah sebahagian daripada pangkalan baharu pasukan keselamatan.

Aktiviti pembinaan sama turut dikenal pasti di perkampungan Inn Din di mana Yangon mengakui pasukan keselamatannya terlibat dalam pembunuhan 10 penduduk Rohingya pada September lalu.

Hampir 700,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Rakhine selepas kempen pembersihan etnik dilancarkan di negeri barat tersebut sebagai cubaan untuk menolak etnik minoriti terbabit. - AFP

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment