Colgate-Palmolive lancar Bulan Kesihatan Mulut

Thursday, March 1, 2018

Colgate-Palmolive lancar Bulan Kesihatan Mulut

Colgate-Palmolive lancar Bulan Kesihatan Mulut

COLGATE-Palmolive Malaysia dengan kerjasama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Bahagian Kesihatan Pergigian dari Kementerian Kesihatan Malaysia melancarkan Bulan Kesihatan Mulut 2018.

Pengurus Besar Colgate- Palmolive Malaysia, Peter Torrington, berkata, tema bagi Bulan Kesihatan Mulut bagi tahun ini adalah Get Mouth Fit bertujuan untuk menggalakkan rakyat negara ini mengambil berat tentang penjagaan mulut dan bertemu doktor pergigian secara berkala sebagai sebahagian daripada pendekatan keseluruhan kepada kesihatan fizikal dan kesejahteraan hidup.

“Trend Kecergasan diterima baik oleh rakyat Malaysia dan ini dapat dilihat melalui peningkatan dalam sesi senaman berkumpulan, pelancongan untuk kesejahteraan, program-program kesihatan dan pertambahan jumlah gimnasium 24 jam,” katanya ketika berucap pada pelancaran bulan Kesihatan Mulut 2018: Get mouth Fit, di Pasaraya Mydin, semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah, Pengarah Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan, Dr Nomah Taharim dan Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Dr Ng Woan Tyng.

Namun begitu, beliau berkata, kaji selidik yang dijalankan pihaknya baharu-baharu ini mendapati walaupun rakyat negara ini bersetuju bahawa kesihatan mulut mempengaruhi kesihatan, tetapi hampir separuh daripada responden tidak tahu cara-cara mendapatkan kesihatan mulut yang baik.

“Ini bermakna, rakyat negara ini mungkin tidak mengamalkan tabiat kebersihan yang betul seperti disarankan oleh doktor-doktor pergigian antaranya memberus gigi dua kali sehari selama dua minit, flos gigi dan membilas mulut dengan larutan pencuci mulut serta menukar berus gigi setiap tiga bulan.

“Satu lagi langkah untuk memastikan kesihatan mulut ialah mengunjungi doktor pergigian secara berkala. Bagaimanapun, menurut Kaji Selidik Kesihatan Pergigian Negara 2010, hanya 27.4 peratus orang dewasa mengunjungi doktor pergigian dalam masa setahun sebelum itu,” katanya.

Justeru, Torrington berkata, kempen Get Mouth Fit bertujuan untuk menangani masalah tersebut sebagai satu daripada empat langkah utama.

Mengulas lanjut beliau berharap, kempen yang dijalankan ini mampu menggalakkan rakyat negara ini menilai semula pendekatan mereka dalam mencapai kesihatan dan kesejahteraan.

“Dengan adanya pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang pada bulan ini, kami harap lebih ramai rakyat Malaysia akan menyertai pergerakan ini dan mendapat maklumat lanjut tentang cara-cara mengaktifkan kesihatan mulut,” katanya.

Sementara itu, Nomah berkata, pemeriksaan kesihatan pergigian secara berkala oleh doktor pergigian memberi lebih banyak manfaat.

“Impak penyakit-penyakit pergigian terhadap kualiti hidup sangat besar dan bagi orang dewasa, ia boleh membawa kepada masalah pemakanan dan pengasingan sosial dalam kes-kes yang paling teruk.

“Bagi kanak-kanak, ia merupakan penyebab paling lazim bagi gangguan tidur berkaitan kesakitan dan pertumbuhan yang terbantut,” katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment