Berita palsu dan pembangkang berpisah tiada - Idris

Saturday, March 10, 2018

Berita palsu dan pembangkang berpisah tiada - Idris

Berita palsu dan pembangkang berpisah tiada - Idris

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pembangkang sudah lama bergelumang dalam penyebaran berita palsu yang selama ini dilihat memberi kekuatan kepada mereka.

Beliau berkata, tujuannya hanya untuk memfitnah kerajaan serta mengelirukan rakyat yang menjadi budaya pembangkang.

"Inilah yang telah beri kekuatan kepada mereka (pembangkang) seperti yang saya sebutkan apabila mereka memfitnah dengan tujuan mengelirukan rakyat, akhirnya akan terjelma rasa tidak yakin kepada kepemimpinan negara.

"Berita palsu sudah dijadikan budaya dan cara hidup mereka. Sebab itu mereka tidak setuju dengan usaha kerajaan itu (penggubalan undang-undang berita palsu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pembangkang sebelum ini yang menolak usaha kerajaan untuk menggubal undang-undang untuk mengekang berita palsu selepas ditemui pada Program Kepemimpinan Tun Razak di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Tun Razak (YTR), Tun Mohammed Hanif Omar.

Mengulas lanjut, Idris berkata kerajaan negeri sememangnya menyokong penuh cadangan penggubalan undang-undang penyebaran berita palsu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengusulkan cadangan dalam mesyuarat EXCO antara lain bagaimana cara untuk menyokong serta melaksanakan usul kerajaan itu sebaik dijadikan undang-undang nanti.

"Penulisan berita palsu yang berleluasa sememangnya mengelirukan pemikiran rakyat mnyebabkan pergaduhan sehingga boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian. Berita palsu sememangnya tiada tempat dalam masyarakat kerana ia adalah fitnah dan sesuatu yang cukup buruk.

"Kita ada rancangan untuk membetulkan berita palsu yang disebarkan. Buat masa ini kerajaan negeri menggunakan khidmat Melaka Resource Centre (MRC) iaitu unit yang akan memperbetulkan berita palsu oleh pihak tak bertanggungjawab," katanya.

Program Program Kepemimpinan Tun Razak anjuran YTR itu mempamerkan seramai 53 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpilih di seluruh negara termasuk empat daripadanya dari negeri ini untuk digilap bakat kepemimpinan yang ada supaya dapat menjadikan Allahyarham Tun Razak sebagai idola.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment