ATM, Tentera Vietnam runding kerjasama

Tuesday, March 6, 2018

ATM, Tentera Vietnam runding kerjasama

ATM, Tentera Vietnam runding kerjasama

Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalin kerjasama dengan Tentera Vietnam dalam aspek pertukaran kepakaran teknologi, pengendalian serta penyeliaan pesawat tempur selain latihan ketenteraan membabitkan tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut serta udara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor berkata, kerjasama itu hasil rundingan bersama Panglima Tentera Vietnam, Senior Leftenan Jeneral Phan Van Giang yang juga Timbalan Menteri Pertahanan negara itu ketika kunjungan hormat di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.

Katanya, rundingan kerjasama itu dibuat berikutan pengalaman Tentera Vietnam yang cukup lama dalam peperangan selain melihat kepada kepakaran mereka dalam teknologi pengendalian serta penyelenggaraan pesawat tempur jenis Sukhoi.

"Vietnam memiliki banyak teknologi peperangan terutama aset pesawat tempur jenis Sukhoi termasuk Sukhoi Su-30MKM yang turut dimiliki ATM.

"Jadi, melihat kepada kemampuan mereka itu, kita bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam latihan ketenteraan selain aspek penyelenggaraan pesawat tempur jenis Sukhoi," katanya ketika ditemui dalam majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 Peringkat ATM di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak, hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata, latihan serta perkongsian kepakaran itu bukan saja akan diadakan di negara ini, sebaliknya di Vietnam.

"Dalam rundingan kerjasama yang kita bincangkan, kita turut bersetuju untuk menghantar anggota bagi mengikuti latihan di Vietnam.

"Kita percaya dalam latihan ini, kedua-dua pihak (ATM dan Tentera Vietnam) akan mendapat manfaatnya," katanya.

Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 Peringkat ATM hari ini dihadiri kira-kira 1,000 pegawai kanan, angggota serta veteran ATM.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment