Ambil alih SPLASH masih belum selesai: MB

Wednesday, March 28, 2018

Ambil alih SPLASH masih belum selesai: MB

Ambil alih SPLASH masih belum selesai: MB

SHAH ALAM: Isu pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih gagal menemui titik noktah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, berakhir hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam sesi penggulungan perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan pihaknya tidak boleh mengemukakan nilai pengambilalihan itu disebabkan mahu menjaga kepentingan pemegang saham syarikat.

"Saya tiada halangan kongsi nilai pengambilalihan SPLASH. Tetapi bagi saya, ia (nilai pengambilalihan) masih dalam proses rundingan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan SPLASH.

"Oleh itu, tidak adil saya menyatakan harga nilai terbabit, apatah lagi syarikat ini 'public listed' (tersenarai) dan boleh menjejaskan pemegang saham," katanya.

Mohamed Azmin turut menyalahkan Kerajaan Persekutuan berhubung kelewatan pengambilalihan ekuiti SPLASH kerana belum mengemukakan laporan penilai bebas yang dilantik mereka berhubung proses pengambilalihan syarikat itu, kepada kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan Selangor memerlukan laporan penilai bebas itu, sebelum boleh menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH supaya kedua-dua pihak boleh duduk berbincang untuk menentukan nilai terbaik yang boleh ditawarkan kepada syarikat konsesi itu.

Sebelum ini, ramai pihak mendesak kerajaan Selangor mengemukakan nilai sebenar yang ditawarkan untuk pengambilalihan SPLASH.

Bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini dilapor berkata tawaran asal terakhir yang dibuat kepada SPLASH adalah RM250.6 juta sebagai nilai pengambilalihan ekuiti.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini pula berkata, beliau berharap kerajaan Selangor dapat segera menyelesaikan perkara itu dengan menyatakan nilai yang sesuai untuk mengambil alih SPLASH.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment