Tapir dewasa dianggar berusia 15 ke 18 tahun
KUANTAN - Seekor tapir jantan dewasa ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di âªJalan Budu-Dong berhampiran Kampung Tualang Padangâ¬, Raub di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, spesis yang semakin terancam itu dipercayai cuba menyeberangi jalan untuk mencari makanan, sebelum dilanggar.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung selepas melihat bangkai haiwan itu di bahu jalan kira-kira âªjam 1.50⬠petang, semalam.
"Kita sudah arahkan tujuh kakitangan Perhilitan dari di pejabat Raub dan Lipis ke lokasi terbabit. Kita dapati tapir seberat kira-kira 250 kilogram itu mengalami kecederaan pada mulut, kepala dan badan.
"Pemeriksaan lanjut menunjukan tapir dewasa itu berusia antara 15 hingga 18 tahun. Semua bahagian badan masih utuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, haiwan terbabit dipercayai mati pada Selasa lalu, namun disebabkan jalan berkenaan jarang dilalui pengguna menyebabkan aduan lambat disalurkan kepada pihaknya.
Dalam pada itu, Ahmad Azhar berkata, bangkai tapir tersebut dialihkan dan dilupuskan dengan kaedah tanam.
Dianggarkan hanya antara 1,100 dan 1,500 tapir masih berada di hutan di Semenanjung Malaysia, dan tertumpu di kawasan perlindungan, seperti Taman Negara dan rizab hidupan liar.
Haiwan itu dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment