Penerima BR1M diminta bersabar, rujuk LHDN

Wednesday, February 28, 2018

Penerima BR1M diminta bersabar, rujuk LHDN

Penerima BR1M diminta bersabar, rujuk LHDN

PUTRAJAYA - Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta merujuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sekiranya bermasalah untuk mengeluarkan wang tersebut, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau turut meminta penerima BR1M agar bersabar dan memberi sedikit masa kerana bayaran skim tersebut dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun penerima.

"Pembayaran fasa pertama BR1M 2018 telah mula diagihkan Isnin lepas dan kepada penerima yang belum mendapatnya, perlulah menunggu sekurang-kurangnya dalam masa seminggu.

Saya jangkakan menjelang Jumaat ini, 80 ke 90 peratus penerima akan mendapat pembayaran bantuan masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam.

Johari berkata penerima yang berdepan masalah seperti wang tidak dimasukkan ke dalam akaun boleh pergi ke mana-mana pejabat LHDN bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Pengagihan BR1M 2018 yang melibatkan peruntukan RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara akan dilakukan dalam tiga fasa.

Bayaran pertama BR1M mula dibuat Isnin lepas, manakala fasa kedua dan ketiga bakal dibuat pada Jun dan Ogos depan.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata isu mengenai taikun Tan Sri Robert Kuok tidak dibincangkan pada mesyuarat kabinet hari ini kerana perkara itu bukan satu perkara berbangkit.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan beliau tidak pernah mempertikaikan sumbangan Robert Kuok kepada ekonomi negara.

"Pada saya, isu-isu yang dipolitikkan ini tidak lagi berbangkit dan tidak perlu dipanjangkan kerana perdana menteri sudah memberi penjelasan yang tepat mengenainya," katanya.

Berhubung dakwaan sebuah portal bahawa beliau antara nama yang dicadangkan menjadi Menteri Besar Selangor selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang, Johari berpendapat ia hanyalah satu rekayasa yang seolah-olah mahu 'menghalaunya' dari kerusi Parlimen Titiwangsa.

Katanya walaupun beliau anak kelahiran Selangor sebelum kawasan itu bertukar menjadi sebahagian Kuala Lumpur tetapi calon jawatan tersebut lebih sesuai diberikan kepada pemimpin dari negeri Selangor sendiri. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment