Malaysia terus sokong proses ASEM

Wednesday, February 28, 2018

Malaysia terus sokong proses ASEM

Malaysia terus sokong proses ASEM

PUTRAJAYA: Malaysia berikrar untuk terus menyokong proses Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) dan komited untuk bekerjasama lebih rapat dengan semua rakan kongsi dalam membawa hubungan Asia-Eropah ke peringkat lebih tinggi.

Dalam kenyataan dikeluarkan sempena ulang tahun ke-22 ASEM esok, Wisma Putra berkata, sebagai anggota pengasas, Malaysia juga menganggap proses ASEM sebagai langkah ke depan untuk merapatkan perbezaan budaya dan norma sosial.

Katanya, ASEM bukan saja menempa kerjasama lebih rapat dan meningkatkan persefahaman di antara Asia serta Eropah, tetapi turut menyediakan platform untuk anggotanya terbabit dalam dialog dan perbincangan mengenai isu politik, ekonomi serta antarabangsa berdasarkan prinsip perkongsian sama rata, saling menghormati dan berkongsi faedah sesama anggota.

"Malaysia juga terbabit dan menyumbang secara aktif dalam aktiviti ASEM serta akan terus berbuat demikian sambil membangunkan wawasan dan masa depan dikongsi kedua-dua benua," katanya.

Wisma Putra berkata, Malaysia percaya Sidang Kemuncak ASEM ke-12 di Brussels, Belgium yang akan datang ini akan menjadi platform penting bagi pemimpin dari kedua-dua rantau untuk berbincang dan menangani cabaran global, selain mewujudkan hubungan saling memberi faedah melalui multilateralisme. - BERNAMA



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment