200 hektar projek tanam sayur

Tuesday, February 27, 2018

200 hektar projek tanam sayur

200 hektar projek tanam sayur

SIPITANG: Kerajaan menyediakan kira-kira 200 hektar tanah untuk melaksanakan projek penanaman bunga dan sayuran tanah tinggi di Kampung Ulu Bole, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Ahmad Bujang, berkata projek berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri.

Beliau berkata, suhu kawasan berkenaan yang rendah berikutan kedudukannya di kawasan tanah tinggi sangat sesuai bagi penanaman sayuran dan bunga beriklim sejuk.

"Suhu di kawasan Ulu Bole ini sejuk dan tanah juga subur. Jadi, ia sangat berpotensi untuk menjadi antara pengeluar bunga dan sayuran tanah tinggi di Sabah," katanya pada Program Bersama Rakyat, di sini.

Ulu Bole adalah sebuah perkampungan di kawasan tanah tinggi yang terletak di laluan menghubungkan pekan Sipitang dengan Long Pasia.

Jika berjalan lancar, projek itu bakal menjadikan Ulu Bole sebagai kawasan kedua pengeluar sayuran dan bunga tanah tinggi di Sabah selepas Kundasang di Ranau.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Program Bersama Rakyat yang diadakan di Kampung Ulu Bole itu, Roland Henry Luan, berkata sempena program itu pelbagai aktiviti diadakan bersama penduduk kampung termasuk sukan rakyat.

Katanya, beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mahkamah Anak Negeri Daerah Sipitang, polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sipitang turut membuka kaunter dan pameran.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada penduduk kampung itu untuk berurusan dengan jabatan dan agensi terbabit selain membincangkan isu pembangunan di kampung berkenaan bersama pemimpin dan wakil jabatan yang hadir.

Sempena majlis itu, Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah menyampaikan sumbangan kepada 51 warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment