Hotel di Selangor pamer pelekat jauhi khalwat

Wednesday, February 28, 2018

Hotel di Selangor pamer pelekat jauhi khalwat

Hotel di Selangor pamer pelekat jauhi khalwat

SHAH ALAM: Lebih 200 hotel di negeri ini akan mempamerkan pelekat Jangan Terjebak Dengan Perbuatan Maksiat sebagai kerjasama membantu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengurangkan statistik kesalahan syariah itu.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata kerjasama itu membabitkan hotel butik hingga bertaraf lima bintang yang berdaftar.

"Pelekat berkenaan akan dipamerkan di ruang utama atau lobi hotel bertujuan menyedarkan orang awam supaya menjauhi perbuatan zina.

"Setiap tahun, JAIS menerima lebih 1,000 aduan berkaitan kesalahan khalwat dan statistik itu menunjukkan kira-kira empat atau lima kes dilaporkan sehari.

"Ia amat membimbangkan dan kita memerlukan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha mencegahnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Haris, berdasarkan statistik itu, gejala khalwat harus ditangani dengan serius berikutan ia menjadi punca berlaku kejadian remaja melahirkan anak luar nikah.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 532,158 kelahiran anak luar nikah didaftarkan sepanjang 2005 hingga 2015.

"Di Selangor pula, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan seramai 1,603 remaja hamil tanpa nikah di negeri ini sepanjang 2012 ke 2015.

"Berikutan itu, JAIS memandang berat masalah ini dan akan berusaha memastikan maqasid syariah sentiasa ditetapkan dalam segenap aspek kehidupan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment