10 rumah dimasuki pencuri

Tuesday, February 27, 2018

10 rumah dimasuki pencuri

10 rumah dimasuki pencuri

BATU PAHAT - “Kejadian ini bermula sejak awal Disember tahun lalu, sangkaan kami ia tak berulang tetapi sehingga bulan ini (Februari) kejadian rompakan ini terus berlaku,” kata Pengerusi Pengaduan Kampung Koris, Ramli Mohd Noor.

Kebimbangan berkenaan dirasai penduduk enam kampung di sekitar Senggarang iaitu Kampung Parit Terus, Parit Penghulu, Bukit Batu Pasir, Parit Ahmad, Koris dan Tanjung Laboh kerana setakat ini sudah 10 rumah dipecah masuk.

Ramli berkata, daripada pemerhatian dilakukan pihaknya kejadian rompakan ini dilakukan secara berkumpulan dan suspek seolah-olah biasa dengan keadaan kampung yang terlibat dan mengetahui selok-belok kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati kejadian rompakan ini yang kebiasaannya dilakukan pada waktu malam, menggunakan modus operandi yang sama iaitu masuk melalui tingkap atau pintu rumah di bahagian belakang.

“Kita juga dapati perompak ini akan merompak dengan tak pakai kasut berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui di sekitar rumah mangsa, selain dikatakan mereka ini memakai topeng.

“Daripada percakapan mangsa yang pernah terserempak dengan perompak ini, mereka sekitar dua atau tiga orang dan akan memakai topeng serta hanya mengenakan seluar dalam sahaja selain tidak memakai baju. Perompak ini dipercayai orang tempatan berdasarkan kata-kata yang dikeluarkan mereka semasa mengugut mangsa,” katanya.

Katanya, perompak berkenaan setakat ini masih belum bertindak agresif dan hanya menyamun sahaja.

“Kami percaya perompak ialah penduduk sekitar, mungkin penagih dadah kerana mereka akan ambil apa saja termasuklah simen di luar rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Sahri Tumin, 63, berkata, rumahnya sudah dua kali dimasuki perompak.

Katanya, sejak kejadian berkenaan, dia yang bekerja sebagai nelayan kini jarang ke laut kerana bimbang keselamatan ahli keluarga.

“Suspek berdua, seorang akan memasuki rumah melalui tingkap dan seorang lagi akan menunggu di luar rumah. Mereka guna pisau sebagai senjata,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, pihaknya akan melakukan rondaan secara berkala.

Katanya, pihaknya juga sudah membuat tiga tangkapan penduduk tempatan yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan suspek berkenaan berusia sekitar 20 hingga 30-an.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment