Sultan Nazrin gerak kesedaran hibah
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar hibah dijadikan antara kaedah pelengkap kepada sistem pengurusan pengagihan harta.
Menurut baginda, harta pusaka yang terbeku kerana tidak dapat diagihkan atas beberapa faktor mendatangkan kerugian kepada waris.
Baginda bertitah, apabila harta itu terkumpul menjadi jumlah yang begitu besar ia turut menjadi satu kerugian amat besar kepada umat Islam.
âMajoriti umat Islam, ketara bukan sahaja kurang memberi perhatian, malah kurang pengetahuan tentang urusan pembahagian harta pusaka. Akibatnya, harta yang ditinggalkan mencetuskan masalah setelah pemilik harta meninggal dunia. Selain daripada hukum faraid, hibah ialah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembahagian harta.
âHibah membolehkan seseorang Islam menetapkan agihan hartanya ketika dia masih hidup, yang dapat menghindarkan daripada berlakunya perbalahan di kalangan waris selepas kematian,â titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Gerakan Kesedaran Hibah Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Menurut baginda, Gerakan Kesedaran Hibah itu diadakan selepas menitahkan agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) menggerakkan langkah aktif bagi membantu menangani masalah yang sedang dihadapi bermula dengan memperkenalkan pendekatan pencegahan, agar masalah melibatkan nilai harta pusaka yang terbeku dan belum diwariskan dapat dibendung daripada terus membesar.
Sultan Nazrin bertitah, dianggarkan RM60 bilion nilai harta pusaka di Malaysia berbentuk tanah dan rumah belum diwariskan sementara RM6.6 bilion yang berada di dalam akaun bank dan insurans dan belum dituntut setelah berlakunya kematian pemilik aset.
âAda kalanya harta yang ditinggalkan, beralih daripada status aset menjadi liabiliti kepada pelbagai pihak, antaranya disebabkan pinjaman atau hutang yang belum diselesaikan, cukai yang tersangkut, dokumen hak milik dijadikan cagaran atau dokumen hak milik tidak dapat dikesan kerana tempat disimpan, hanya diketahui oleh si mati.
âSelagi urusan harta tidak diselesaikan, rungutan waris dan rungutan jiran tetangga, mungkin menjadi satu tanggungjawab dunia yang mengheret nama si mati, yang telah berada di alam barzakh,â titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin mengarahkan semua ketua jabatan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi di negeri ini menggerakkan usaha ke arah kesedaran hibah tersebut.
Menurut baginda, gerakan menyedarkan dan memperkenalkan masyarakat mengenai hibah perlu diperluas ke semua masjid, surau, pelbagai institusi latihan serta pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan sukarela.
âUsaha memberi penerangan memperkenalkan hibah, hendaklah diperluaskan ke semua daerah dan jajahan di negeri Perak, hingga sampai ke mukim dan kampung, dilakukan secara berterusan dan secara berkesinambungan. Hibah, telah Beta titahkan dijadikan tema khutbah Jumaat di semua masjid di negeri Perak, minggu depan.
âHendaklah dijadikan sasaran, agar di negeri Perak Darul Ridzuan, akan tercapai indeks sifar masalah, dalam urusan pengagihan harta selepas kematian.
âMajlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bersama Jabatan Agama Islam negeri Perak, hendaklah menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat mengenai hibah di peringkat negeri dan di peringkat daerah serta jajahan; diikuti dengan melatih pegawai di semua masjid di negeri Perak, agar memiliki pengetahuan untuk memberi khidmat nasihat yang tepat mengenai hibah kepada ahli kariah masing-masing,â titah baginda.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment