Mahu Harapan menang 3-0

Wednesday, February 28, 2018

Mahu Harapan menang 3-0

Mahu Harapan menang 3-0

JOHOR BAHRU - Bersatu Bahagian Tebrau akan memastikan jalinan kerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan bagi mengha-silkan kemenangan '3-0' di Parlimen Tebrau pada PRU14 akan datang.

Ketuanya, Mazlan Bujang berkata, segala strategi untuk berdepan parti lawan bagi kerusi Parlimen Tebrau, Dun Tiram dan Dun Puteri Wangsa kini sudah berada di dalam 'kocek' beliau.

"Kita pun bekas ahli Umno dan BN. Dari segi strategi, dalam kocek kita. Kita lebih tahu strategi untuk bertempur dan kebetulan Bersatu hanya diberi amanah untuk kerusi di Puteri Wangsa. Dun Tiram adalah PKR dan Parlimen Tebrau adalah PKR. 

"Namun sebagai satu pakatan kita akan bekerjasama terutama dengan ketua parlimen PKR iaitu Steven (Choong) untuk memastikan kita mencapai kemenangan 3-0 semasa PRU akan datang yang akan berlaku dalam tempoh terdekat," katanya kepada Sinar Harian.

Mazlan berkata, secara keseluruhannya jentera Harapan di Tebrau sudah bersedia untuk berdepan PRU14, seterusnya menang dan membentuk sebuah kerajaan bagi memerintah negeri ini.

"Kita tengah menunggu saat yang bahagia dan kita sudah bersedia sebagai sebuah kerajaan yang menanti  dan bukan lagi jadi pembangkang. 

"Kita bukan takbur. Dengan izin ALLAH, usaha kita yang ada dan sokongan rakyat, kita yakin mampu untuk menang PRU akan datang," katanya. 

Beliau berkata, calon Harapan khususnya di Parlimen Tebrau sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawab demi membantu rakyat meskipun bukan tokoh hebat dan ternama. 

"Saya percaya kekuatan sebenarnya datang daripada undi rakyat dan saya percaya rakyat akan memberi kepercayaan kepada kita untuk mengubah kerajaan dalam PRU akan datang," katanya. 

Katanya, komposisi pengundi di Dun Puteri Wangsa merangkumi 50 peratus Cina, 39 peratus Melayu dan India serta lain-lain pula kira-kira 11 peratus. 

"Pada kali ini kita menjangkakan BN akan meletakkan calon MIC atau MCA. Mungkin pertandingan tiga penjuru dengan Bersatu dan Pas.

"Tapi saya percaya rakyat di kawasan bandar ini amat cerdik dan tahu tahu apa yang mereka mahu tunaikan pada PRU akan datang," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment