Hibah bantu selesai pertikaian berkaitan harta pusaka
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amalan hibah memberi manfaat, terutama dalam menyelesaikan beberapa pertikaian berkaitan harta pusaka.
Titah baginda, hibah memudahkan urusan perpindahan milik dan ia hendaklah dilihat sebagai salah satu kaedah pelengkap kepada sistem pengurusan pengagihan harta.
"Hibah membolehkan seseorang Islam menetapkan agihan hartanya ketika dia masih hidup, yang dapat menghindarkan daripada berlakunya perbalahan di kalangan waris selepas kematian," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Gerakan Kesedaran Hibah Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin.
Sultan Nazrin bertitah, Gerakan Kesedaran Hibah yang dilancarkan hari ini diharap dapat memenuhi lima matlamat utama yang disasarkan, iaitu pertama, memperkenal dan menyedarkan umat Islam mengenai hibah, dan yang keduanya menghindar atau meminimumkan umat Islam daripada menghadapi masalah agihan harta pusaka selepas kematian pemilik harta.
"Ketiga, membantu agar harta pusaka dapat diagih dengan cepat dan tepat supaya boleh segera digunakan oleh penerima untuk menjana kegiatan ekonomi.
"Keempat, membimbing dan menggalakkan umat Islam melakukan hibah ketika masih hidup, dan kelima membantu memperkenal platform mengenai urusan menyediakan dokumen hibah melalui perkhidmatan profesional," titah baginda.
Baginda bertitah, majoriti umat Islam hari ini bukan sahaja kurang memberi perhatian, malahan kekurangan pengetahuan mengenai urusan pembahagian harta pusaka.
"Akibatnya, harta yang ditinggalkan mencetuskan masalah setelah pemilik harta meninggal dunia, selain daripada hukum faraid, hibah ialah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembahagian harta," titah baginda.
Titah baginda lagi, usaha memberi penerangan memperkenalkan hibah, hendaklah diperluaskan ke semua daerah dan jajahan di negeri Perak, hingga sampai ke mukim dan kampung serta dilakukan secara berterusan dan berkesinambungan.
"Hibah juga beta titahkan dijadikan tema khutbah Jumaat di semua masjid di negeri Perak, pada minggu hadapan.
"Setiap ketua jabatan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi di bawah naungan kerajaan beta, hendaklah secara bersungguh, menganjurkan program penerangan hibah kepada para anggota dan ahli keluarga di tempat masing-masing," titahnya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment