Pasangan kekasih ditahan rempuh anggota polis

Tuesday, February 27, 2018

Pasangan kekasih ditahan rempuh anggota polis

Pasangan kekasih ditahan rempuh anggota polis

KAMPAR: Seorang pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) awam bersama rakan wanitanya ditahan selepas merempuh seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis di Jalan Industri, Taman Bandar Baru Barat, di sini awal pagi tadi.

Mereka yang masing-masing berusia 19 dan 18 tahun itu ditahan ketika menaiki kereta jenis NAZA Suria pada jam 2.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika anggota berpangkat Lans Koperal berusia 29 tahun membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum mendapati kereta dinaiki suspek berada dalam keadaan mencurigakan.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon. - Foto Muhaizan Yahya

Katanya, sebaik anggota berkenaan menghampiri kereta terbabit, suspek lelaki bertindak menghidupkan enjin sebelum mengundurkan kereta dan merempuh pembahagi jalan di hujung lorong.

"Suspek kemudian menekan minyak menghala ke hadapan dan merempuh bahagian hadapan motosikal dinaiki anggota berkenaan hingga mengakibatkan mangsa terjatuh.

"Kereta dipandu suspek terus memecut laju menghala ke jalan besar sebelum menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis di Balai Polis Kampar kemudian mengesan kereta dinaiki suspek berhenti di bahu jalan kawasan Batu Karang kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Polis menahan kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan tidak menemui apa-apa barang menyalahi undang-undang.

"Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian berkenaan, anggota polis yang dirempuh bagaimanapun tidak cedera.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment