Pas pertaruh calon bukan melayu

Wednesday, February 28, 2018

Pas pertaruh calon bukan melayu

Pas pertaruh calon bukan melayu

SHAH ALAM - Parti Pas Selangor bersedia meletakkan sekurang-kurangnya tiga hingga lima calon bukan Melayu dalam kalangan ahli Dewan Himpunan Penyo-kong Pas (DHPP) bagi menghadapi PRU14.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sudah sampai masanya, calon bukan Melayu diketengahkan untuk menjadi calon Pas di negeri ini.

“Kita pernah letak calon (ahli DHPP) pada pilihan raya umum yang lalu di Johor dan negeri-negeri lain,”  katanya ketika ditemu bual dalam siaran langsung Facebook Sinar Harian, di sini, semalam.

Malah, Roslan Shahir menegaskan, Pas juga secara berani untuk mempertimbangkan jawatan Exco kepada calon DHPP sekiranya Pas mentadbir kerajaan negeri pada PRU14.

Beliau berkata, sememangnya parti itu bersedia untuk meletakkan calon tersebut sejak dari dahulu lagi, namun parti itu lebih yakin menonjolkan mereka untuk bertanding buat kali pertama di negeri ini pada PRU14.

Katanya, keputusan untuk meletakkan calon itu berdasarkan kepada komposisi kepelbagaian kaum di negeri ini.

“Contohnya di Selangor, selain  daripada kita mempunyai jumlah pengundi Cina khususnya di kawasan-kawasan perbandaran, jumlah kumpulan pengundi India di negeri Selangor adalah yang terbesar di Malaysia seperti di sebelah Klang dan Kuala Selangor,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai angka atau jumlah ahli DHPP tepat yang menyokong parti itu, namun mengakui sambutannya menggalakkan.

“Semalam (kelmarin) saya ada satu program di Dun Kuang bersama-sama dengan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib. Di sana, kita terima 50 keahlian baru DHPP.

“Kita melihat di negeri Selangor ini ada sentimen perubahan daripada masyarakat India ini untuk tidak bersama-sama dengan BN dan Pakatan Harapan atas sebab-sebab tertentu.

“Pas membuka pintu agar mereka yang kecewa ini datang kepada Pas dan beri kepercayaan kepada mereka untuk bersama-sama kita memperjuangkan nasib mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pas juga akan mengemukakan calon terbaik gandingan antara ulama dan profesional.

Katanya, parti itu dijangka menamakan tiga calon berkelulusan profesor madya, manakala sekurang-kurangnya enam calon dalam kalangan doktor perubatan dan falsafah.

“Selebihnya, calon-calon Pas terdiri dari ulama yang berkelulusan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment