Hilang rakan pendamai
KUALA LUMPUR: "Kami kehilangan seorang rakan yang sentiasa menjadi 'pendamai' apabila berlaku pertikaian."
Nahas ngeri yang meragut nyawa Muhammad Hanif Mohamad Zin, 29, apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu melanggar tiang lampu di Jalan Tun Razak di sini, malam tadi, meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan-rakannya.
Kejadian jam 10.15 malam itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan putus kaki kiri manakala motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki 650 CC miliknya terbakar.
Seorang rakan, Darul Naim, 30, berkata Allahyarham kerap menjadi orang tengah yang mendamaikan setiap kali berlaku perselisihan faham sesama mereka.
"Kami amat terasa kehilangan Hanif. Dia tidak lokek kalau ada rakan memerlukan bantuan, tidak kiralah dari segi tenaga mahu pun wang ringgit.
"Setiap kali timbul masalah antara kami, dia tegas menegur tanpa mengira latar belakang dan hatinya baik," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Ketika kejadian, Darul berkata, Allahyarham dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Menara Felda Platinum Park.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki berusia tiga tahun serta 10 bulan.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Pantai Dalam, tengah hari tadi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahyah, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Bulatan Pahang dari Kampung Pandan.
"Mangsa terbabas sendiri sebelum gagal mengawal motosikalnya ketika tiba di sebuah selekoh.
"Susulan kejadian itu, mangsa terlanggar tiang lampu di pembahagi jalan yang menyebabkan kaki kirinya putus manakala motosikal miliknya terbakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment