Tuduhan Mohd Rafizi fitnah
KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Zakaria Sharif berkata, tuduhan Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli bahawa lembaga itu lewat membuat pembayaran gratuiti kepada pesara tentera adalah satu fitnah.
Zakaria, 59, berkata, kenyataan Mohd Rafizi adalah fitnah apabila beliau sengaja cuba mengaitkan isu syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai punca kepada kelewatan tersebut.
âDefendan (Mohd Rafizi) seolah-olah ingin memberi gambaran bahawa LTAT tidak punya dana yang cukup untuk membayar gratuiti pesara-pesara tentera, walhal kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekaliâ katanya melalui pernyataan saksi dalam kes saman dikemukakan LTAT terhadap Naib Presiden PKR itu, hari ini.
Zakaria yang telah berkhidmat dengan syarikat itu sejak 9 Mei 2011 berkata, segala tohmahan dan fitnah defendan adalah kenyataan tidak bertanggungjawab kerana defendan sengaja mengambil kesempatan terhadap isu 1MDB, mengaitkannya dengan kemampuan LTAT.
Jelasnya, susulan kenyataan yang dibuat Mohd Rafizi pada 21, 23 dan 28 Mac 2016 melalui Facebooknya, dan turut tersebar melalui portal berita Malaysiakini, pihak LTAT mengeluarkan kenyataan bagi menjawab tuduhan berkenaan.
âPlaintif (LTAT) telah menjelaskan semua permohonan pesara tentera yang telah lengkap dan diterima daripada Urusan Gaji Angkatan Tentera telah diproses dan pembayaran telah dibuat,â katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata, susulan kenyataan dibuat ahli politik itu dan disiarkan dalam portal berita berkenaan, beliau kemudiannya membuat laporan polis pada 24 Mac 2016.
Jelasnya, laporan polis itu dibuat kerana defendan masih terus membuat kenyataan dan tuduhan sama, yang memberi kesan terhadap kepercayaan anggota dan pesara tentera.
Ketika disoal balas peguam Mohd Rafizi, Saiful Izham Ramli, mengapa plaintif tidak turut menamakan portal berita Malaysiakini dalam saman berkenaan, Zakaria berkata, kenyataan itu jelas dikeluarkan oleh ahli parlimen itu sendiri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim akan disambung pada 27 dan 28 Mac ini.
Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kenyataan dikeluarkan
oleh Mohd Rafizi antara lain membawa maksud bahawa LTAT tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera serta tidak mempunyai wang membayar pesara tentera.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan, dan perintah injunksi untuk menghalang atau mencegah defendan, pegawai atau ejen, atau pekerja defendan atau sebaliknya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment