Dua lelaki ditahan ketika 'lalok'

Wednesday, February 28, 2018

Dua lelaki ditahan ketika 'lalok'

Dua lelaki ditahan ketika 'lalok'

SEBERANG PERAI TENGAH - Dua lelaki yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah dikejutkan dengan kehadiran polis selepas rumah mereka diserbu dalam kejadian di Kampung Bagan Serai di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11 malam itu, dua suspek yang berusia 31 dan 38 tahun itu ditemui dalam keadaan khayal di kawasan dapur rumah mereka selepas polis berjaya masuk ke dalam rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan tubuh menemui satu beg kecil daripada salah seorang suspek.

“Pemeriksaan di dalam beg berkenaan menemui lima bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi dadah jenis heroin dan satu ketulan dadah jenis ganja.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan tempat mereka tinggal turut menemui satu kotak besi yang menyimpan lima paket dadah jenis methamphetamine, alat menghisap dadah gunting dan pemetik api,” ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemui dua motosikal yang telah dilerai, dua komputer riba, sebuah tablet dan lapan telefon pintar.

Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua motosikal yang ditemui itu sebelum ini telah  dilaporkan hilang di Bukit Mertajam dan juga Butterworth.

“Kita masih menyiasat penglibatan kedua-dua suspek ini dalam kes curi kenderaan, ragut dan pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.

“Kedua-dua mereka kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 38A (1) Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment