Farid Kamil ke balai lagi
SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan aktor dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, membuat laporan kedua selepas di Balai Polis Damansara petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, bagaimanapun enggan mendedahkan laporan terbabit berikutan ia masih dalam siasatan.
"Petang semalam, Datuk Farid Kamil ada datang buat laporan polis. Banyak perkara perlu disiasat berdasarkan laporan dibuat itu.
"Laporan berkenaan berkaitan dengan kejadian sebelum, semasa dan selepas beliau ditangkap.
"Dalam laporan itu, banyak isu dikemukakan dan kita perlu jalankan siasatan lanjut membabitkan beberapa individu termasuk rakannya serta polis dan kesahihan fakta dikemukakan," katanya.
Fadzil berkata, aktor berusia 37 tahun itu perlu bertanggungjawab atas laporan yang dibuat memandangkan kes dadah membabitkannya masih berjalan.
"Kita difahamkan beliau ada peguam. Saya nasihatkan Farid Kamil rujuk peguamnya kerana perbicaraan kes terhadapnya masih berjalan.
"Beliau kena bertanggungjawab atas segala kenyataan yang diberikan dengan mendapat nasihat peguam terlebih dulu untuk buat laporan kerana kesnya masih dalam perbicaraan dan ini boleh menimbulkan subjudis terhadap proses mahkamah," katanya.
Fadzil berkata, polis akan memanggil Farid Kamil secepat mungkin untuk mengambil keterangan kerana pelakon itu keluar dengan tergesa-gesa selepas membuat laporan semalam.
"Beliau datang seorang diri (ketika membuat laporan polis) dan akan dipanggil secepat mungkin," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment