Ekzos itu 'makan' kaki saya

Tuesday, February 27, 2018

Ekzos itu 'makan' kaki saya

Ekzos itu 'makan' kaki saya

MARANG - Warga emas, Hashim Boto,72, menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat terbabit kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikalnya.

"Ekzos itu 'makan' kaki hingga kaki saya kena potong. Semua ini berlaku selepas saya kemalangan di selekoh Kampung Alur Limbat ketika dalam perjalanan ke Wakaf Tapai hari itu," katanya, hari ini.

Dalam kejadian kemalangan jam 11.30 pagi pada 21 Disember tahun lalu, mangsa menunggang motosikal roda tiga berseorangan dan gagal mengawal jentera itu lalu melanggar pengadang jalan.

Hashim juga mengidap kencing manis berkata, insiden itu menyebabkan kaki kanannya patah tiga bahagian manakala bahagian bawah kakinya melecur kerana terkena ekzos motosikal yang panas.

"Kaki saya patah tiga bahagian, bahagian bawah kaki pula terkena ekzos... Kaki ini luka dan melecur kerana ekzos itu panas tetapi hanya dipotong selepas keadaan kaki itu menjadi semakin teruk," katanya.

Hashim dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah selama 20 hari selepas kemalangan itu sebelum dibenarkan pulang dan terpaksa dibawa semula ke hospital selepas 15 hari berada di rumah.

Sementara itu, isterinya, Esah Mamat, 53, berkata, dalam tempoh rawatan di rumah selepas dibenarkan keluar wad, kaki suaminya itu tidak sembuh malah mula 'berulat' walaupun lukanya di cuci setiap hari.

"Jadi kami terpaksa bawa dia semula ke hospital selepas 15 hari berada di rumah dan pihak hospital terpaksa memotong kakinya pada 10 Februari lalu agar luka itu tidak merebak ke seluruh kakinya.

"Suami juga mengidap kencing manis dan kaki kanannya perlu segera dipotong. Selesai pembedahan dia dibenarkan pulang ke rumah beberapa hari lalu," katanya ditemui di rumah keluarganya di Kelulut.

Walaupun kaki suaminya itu sudah potong namun Esah masih bimbang kaki suaminya itu mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya kerana Hashim mengidap kencing manis dan sudah berusia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment