Dalam satu sidang media yang diadakan di Setia Alam semalam, Farid Kamil mendakwa beliau telah dipukul anggota polis sehingga meninggalkan parut di dahi ketika berada di dalam lokap.

Farid Kamil mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari ketiga di lokap sekitar jam 2.00 pagi.


BACA: Rakan Artis Mahu Ambil Tindakan Saman Farid Kamil

“Saya didatangi 11 orang individu berpakaian preman, kemudian saya diikat dengan baju putih. Apabila saya sedar dahi saya berdarah dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan,” jelasnya.

Farid Kamil telah membuat laporan polis berhubung perkara ini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 31 Januari lalu pada jam 5.54 petang.



Namun beliau mendakwa sehingga kini maklum balas yang diterima daripada pihak polis adalah mengecewakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya akan meneliti semua dakwaan yang dibuat oleh Datuk Farid Kamil sebelum mengeluarkan komen lanjut.

“Siasatan lanjut akan dijalankan berdasarkan dakwaan yang dibuat. Siasatan terhadap laporan polis yang dibuat sebelum ini masih diteruskan,” katanya. (rtky/m)