Jangan polemik isu agama

Tuesday, February 27, 2018

Jangan polemik isu agama

Jangan polemik isu agama

PUTRAJAYA: Kerajaan memandang serius terhadap mana-mana kumpulan yang cuba mempolemikkan isu agama demi kepentingan sendiri hingga mewujudkan kebencian antara kaum dan penganut agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Joseph Kurup, berkata insiden kecil yang berlaku tidak seharusnya diperbesarkan hingga mewujudkan persepsi negatif antara etnik, seterusnya mengundang konflik yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keamanan negara.

Beliau berkata, isu agama juga turut mendapat perhatian institusi diraja dan raja-raja Melayu melahirkan keprihatinan mereka dalam banyak isu yang timbul kerana cenderung ke arah menimbulkan konflik perkauman serta agama.

"Raja-raja Melayu memandang berat kesejahteraan hidup dan jalinan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat di negara ini kerana ikatan perpaduan adalah agenda penting untuk memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara, seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang.

"Sudah sampai masanya kita sedar kebebasan dan kesejahteraan yang kita nikmati ini didasari perpaduan yang wujud, namun ia boleh musnah dalam sekelip mata jika tidak diurus serta dipelihara dengan baik," katanya berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra Menteri di JPM Bersama Pemimpin Agama sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri di JPM, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis itu, Kurup turut memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan insentif berbentuk geran aktiviti bagi program keharmonian antara agama kepada tujuh badan bukan kerajaan (NGO) agama berjumlah RM35,000.

Katanya, geran berkenaan sebagai galakan kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPA) meneruskan usaha mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut pelbagai agama di Malaysia.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, semua agama tidak pernah mengajar penganutnya hidup berpecah-belah, justeru keharmonian yang ada di negara ini perlu terus dipertahankan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment