Orang luar berpeluang miliki hartanah di Kelantan

Tuesday, February 27, 2018

Orang luar berpeluang miliki hartanah di Kelantan

Orang luar berpeluang miliki hartanah di Kelantan

KERAJAAN negeri memberi keistimewaan kepada orang Melayu bukan rakyat Kelantan untuk membeli dan memiliki hartanah di negeri ini sempena Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) peringkat negeri, pertengahan Mac ini.

Pengerusi Mapex Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat berkata, keistimewaan itu membolehkan kumpulan terbabit membeli rumah dan mendapat kelulusan pindah milik lebih cepat tanpa melalui kelulusan mesyuarat Exco.

Katanya, ekspo anjuran Persatuan Pemaju dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri itu dijadualkan berlangsung di KB Mall dari 16 hingga 19 Mac depan.

"Keistimewaan tersebut hanya diberikan kepada orang Melayu bukan rakyat Kelantan yang membeli hartanah dengan pemaju yang menyertai Mapex peringkat Kelantan ini sahaja," katanya.

Menurutnya, antara pemaju perumahan akan menyertai Mapex kali ini ialah anak syarikat kerajaan negeri, SPP Development Sdn Bhd dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Tambahnya, pemaju lain termasuk MSO Corporation Sdn Bhd; SBJ Binajaya Development Sdn Bhd; SPNB Aspirasi Sdn Bhd; Rushdan Yusoff Properties Sdn Bhd; Kelmedic Sdn Bhd dan Briefdell Development Sdn Bhd.

"Selain itu, ada beberapa lagi pemaju hartanah lain yang sedang berkira-kira untuk menyertai Mapex Kelantan kali ini.

"Bagi kemudahan memeriksa status kelayakan dan pembiayaan pinjaman perumahan, Maybank dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau CCRIS akan turut serta dalam pameran ini," katanya.

Sehubungan itu, Samsuri yang juga Timbalan Pengerusi Rehda Kelantan mengajak orang ramai hadir ke pameran itu untuk memilih rumah bersesuaian mengikut jenis, lokasi dan pendapatan masing-masing.

Katanya, pemaju baru menyertai bidang hartanah dan perumahan juga diharap tidak melepaskan peluang menyertai Mapex bagi mempromosikan syarikat mereka.

"Kita juga mempelawa pemaju dari luar Kelantan mempamerkan hartanah terutama di Lembah Klang kerana ramai juga rakyat negeri ini berminat membeli hartanah di luar Kelantan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment