Keluhan penternak ikan Pulau Ketam
PELABUHAN KLANG: Seramai 45 penternak ikan di Pulau Ketam kecewa dengan tindakan kerajaan negeri mengenakan bayaran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) 40 sen bagi setiap satu meter persegi sangkar ikan.
Penternak menyifatkan tindakan menerusi notis TOL yang ditampal di sangkar ikan pada 24 Februari lalu, membebankan dan dibuat terburu-buru tanpa memikirkan masalah dihadapi mereka.
Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Selangor, Tan Eng San, berkata kerajaan negeri sepatutnya faham dengan situasi penternak ikan di Pulau Ketam, bukan sewenang-wenangnya mengenakan caj TOL berkenaan.
"Kami di sini hanya ada 45 penternak dan sembilan daripada kami terpaksa menutup perniagaan selepas mengalami kerugian.
"Ia membabitkan 20 peratus daripada pengeluaran ikan dari Pulau Ketam dan kerugian ini sangat tinggi dalam tempoh dua tahun sahaja.
"Kerajaan negeri gagal melihat masalah yang dialami penternak di sini dan mereka langsung tidak mengambil berat mengenai kami," katanya di sini.
Beliau berkata, penternak sebelum ini sudah mengajukan masalah itu kepada Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib yang berjanji akan membawa masalah itu kepada pihak atasan.
"Kami hanya tunggu keputusan tetapi tiba-tiba notis sudah dikeluarkan di sangkar kami tanpa memaklumkan kepada kami terlebih dulu," katanya.
Penternak terbabit mendakwa masalah itu bermula selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat lawatan di Pulau Ketam, empat tahun lalu.
Eng San berkata, selepas lawatan itu, mereka dimaklumkan penternak ikan akan dikenakan kutipan TOL pada kadar RM2 bagi satu meter persegi.
"Bagaimanapun, selepas dirayu, kadar diturunkan sehingga menjadi RM1, seterusnya 50 sen. Namun, dipersetujui sehingga menjadi 40 sen bagi satu meter persegi setahun.
"Kadar ini masih tinggi bagi kami berikutan pendapatan kami tidak stabil. Bayangkan untuk satu sangkar kami terpaksa membayar kira-kira RM8,000.
"Sebelum ini, kami hanya perlu membayar kadar TOL pada jumlah RM300 setahun. Daripada jumlah RM8,000 itu, berapa kali ganda sudah naik? Kadar ini sangat membebankan," katanya.
Sementara itu, penternak lain, Chua Teo Song, 61, berkata, dia mengusahakan dua sangkar ikan sejak lebih 20 tahun.
"Baru-baru ini, saya menutup satu sangkar berikutan perniagaan kurang baik dan mungkin terpaksa menutup semua sangkar dalam masa tiga bulan lagi," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment