Rugi tak mohon geran KP1M

Tuesday, February 27, 2018

Rugi tak mohon geran KP1M

Rugi tak mohon geran KP1M

KUALA TERENGGANU -Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Terengganu meminta lebih ramai komuniti di negeri ini memohon Geran Komuniti Penduduk 1Malaysia (KP1M) bagi manfaat menambahbaik sistem keselamatan, kebersihan kampung serta kelengkapan yang diperlukan.

Pengarah JPPM negeri, Mohd Mufsi Lat berkata, tidak ramai komuniti dan masyarakat tahu mengenai geran ini menyebabkan sebanyak RM130,000 terpaksa dipulangkan kepada kerajaan pusat pada tahun lalu.

“Hanya 18  daripada 22 persatuan komuniti yang berdaftar dengan JPPM memohon geran membabitkan perbelanjaan sebanyak RM170,000.

“Tahun ini pula, 48 komuniti sudah berdaftar dan daripada RM400,000 yang diperuntukkan, RM100,000 geran sudah diagihkan kepada 10 komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Geran KP1M, di Dataran Bidara, Tapak Ekspo Terengganu 2018 di Pekarangan Kompleks Sukan Terengganu Gong Badak, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, dan Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim.

Menurutnya, bagi memastikan lebih ramai komuniti tahu mengenai kemudahan disediakan kerajaan itu, pihaknya dari semasa ke semasa sentiasa membuat promosi dan hebahan melalui media sosial dan media cetak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Komuniti Kampung Batu Buruk,  Nasrul Hassan, berkata pihaknya baru sahaja membuat permohonan pada Januari lalu bagi meningkatkan tahap keselamatan kampung selain menyediakan peralatan untuk penganjuran majlis seperti kanopi, kerusi dan meja.

Katanya, ramai yang tidak tahu kerajaan ada menyediakan kemudahan sebegini kepada persatuan atau komuniti di Kampung, namun ada juga yang tahu tetapi tidak membuat permohonan.

“JPPM meluluskan geran sebanyak RM10,000 kepada pihak kami. Melalui geran berkenaan pihak kami boleh menyediakan kemudahan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan kampung.

“Selain itu, kami juga akan  memberi kelengkapan untuk penduduk mengadakan majlis seperti kanopi, kerusi dan meja.

“Jadi mereka yang tidak berkemampuan untuk menyewa boleh menggunakan peralatan berkenaan secara percuma dengan komuniti kami,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment